Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Majlis Penyerahan Bantuan Tunas Makmur 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist (MGSS), Kuantan, pada pukul 10.00 pagi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, YB Tuan Sim Chon Siang.
Kerajaan negeri Pahang menerusi Program Tunas Makmur yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang), terus memperlihatkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan.
Program ini bertujuan untuk membantu murid memulakan sesi persekolahan dengan lebih sempurna melalui penyerahan Set Bantuan Awal Persekolahan.

Dalam ucapan beliau, YB Tuan Sim Chon Siang menekankan bahawa kestabilan ekonomi negeri yang semakin baik membuka ruang kepada kerajaan untuk memberikan lebih banyak inisiatif kebajikan kepada rakyat.
Beliau berkata, “Hasil pendapatan kerajaan negeri Pahang yang terus meningkat pada setiap tahun membolehkan pelbagai bentuk bantuan diberikan kepada rakyat, termasuklah dalam sektor pendidikan. Kami komited memastikan anak-anak Pahang mendapat akses pendidikan yang lebih baik tanpa bebanan kewangan yang tinggi.”
Selain itu, YB Tuan Sim Chon Siang turut mengingatkan pelajar lepasan SPM agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan. Beliau menegaskan bahawa kes penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia masih berlaku di beberapa buah negara seperti Thailand, Kemboja, Myanmar dan Dubai.
“Banyak yang tertipu dengan janji manis pekerjaan di luar negara, tetapi akhirnya menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Saya menyeru agar para pelajar sentiasa berhati-hati dan mendapatkan maklumat yang sahih sebelum menerima sebarang tawaran kerja,” ujar beliau.

Majlis penyampaian bantuan ini disambut baik oleh para penerima bantuan serta guru-guru yang hadir. Mereka berharap agar program seperti Tunas Makmur ini dapat diteruskan bagi membantu lebih banyak pelajar di seluruh Pahang. Kerajaan negeri pula melalui IM Pahang bertekad untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga dalam pelbagai aspek, termasuklah pendidikan dan keselamatan sosial.
Majlis yang berlangsung di dewan sekolah itu turut dihadiri oleh wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan semua murid sekolah. YB Tuan Sim Chon Siang sempat meninjau kawasan persekitaran sekolah usai majlis di dewan tamat.
