Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNegeri Sembilan – Lebih 3,000 pelajar sekolah rendah dan menengah menyertai Karnival Generasi MADANI yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini. Karnival ini merupakan sebahagian daripada program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan di seluruh negara bagi merealisasikan agenda Malaysia MADANI.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan pembinaan generasi muda secara holistik dengan menerapkan nilai manusiawi berpaksikan acuan Malaysia.
Beliau menyatakan bahawa anak-anak ini merupakan pemimpin masa hadapan yang perlu dibentuk dengan minda yang progresif, berdaya saing serta berpandukan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan bersama. Menurut beliau, usaha ini penting bagi memastikan generasi yang bakal menerajui negara bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan turut memiliki keperibadian unggul dan kesedaran sosial yang tinggi.
Selain itu, beliau berharap karnival ini dapat diperluas supaya lima juta murid sekolah rendah dan menengah di bawah KPM dapat merasai manfaatnya. Inisiatif ini diyakini mampu memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar dan membantu dalam pembentukan sahsiah diri yang lebih seimbang antara aspek intelektual, emosi, sosial dan rohani.
Karnival ini mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberikan peluang kepada pelajar mengembangkan bakat dan keyakinan diri. Antara pengisian utama yang menarik perhatian peserta termasuk persembahan Generasi MADANI yang memaparkan elemen perpaduan dan kepelbagaian budaya, selain pameran seni visual dan karikatur yang menggalakkan ekspresi kreatif serta daya intelektual. Dalam aspek sukan dan permainan, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang menanam semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan mereka.
Bagi memperkenalkan peluang pembelajaran dan khidmat sosial, pameran pendidikan dan kesukarelawanan turut diadakan. Sementara itu, sesi temu santai bersama Menteri Pendidikan menjadi platform bagi anak-anak muda untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin negara dan menyuarakan pandangan serta harapan mereka terhadap sistem pendidikan negara.
Turut menarik perhatian peserta adalah reruai pameran daripada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menyediakan bahan pendidikan serta kesedaran sosial kepada pengunjung.
Konsep Generasi MADANI yang diperkenalkan dalam karnival ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Rukun MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Konsep Generasi MADANI menitikberatkan keseimbangan antara ilmu, kemahiran, akhlak dan tanggungjawab sosial dalam melahirkan individu berkualiti untuk masa depan negara.
Penganjuran Karnival Generasi MADANI 2025 diharapkan dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh pembentukan karakter generasi muda serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan memperluas konsep ini ke seluruh institusi pendidikan, diharapkan dapat melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah turut memiliki pemikiran matang, sikap yang baik serta semangat untuk terus belajar dan memajukan diri demi manfaat bersama.
Majlis perasmian karnival ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan; EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan YB Dato’ Hajah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman; serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.