Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyalurkan bantuan kewangan pendidikan sebanyak RM257,000 kepada 103 orang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada tahun ini.
Penyaluran bantuan berkenaan disampaikan dalam Majlis Penyerahan Dermasiswa IPTA YWP Tahun 2025 yang berlangsung di Ruang Mayor’s Courtyard, Jalan Tangsi pada Ahad lalu.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, YBrs. Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed yang menyaksikan setiap pelajar terpilih menerima sumbangan antara RM2,000 hingga RM3,000 secara sekali beri (one-off).
Selain itu, YBrs. Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pusat Pengurusan Zakat (PPZ), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan semua pihak yang membantu menjayakan majlis tersebut.

Pada masa yang sama, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian bantuan berjumlah RM13,500 kepada 15 orang waris di bawah Skim Prihatin YWP sebagai bantuan khairat kematian kepada waris ahli untuk meringankan beban kewangan mereka.

Sementara itu, Program Dermasiswa IPTA YWP merupakan sebuah inisiatif YWP dalam usaha membantu pelajar cemerlang di Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di IPTA.

Inisiatif tersebut membabitkan pelajar yang berada pada peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda agar mereka tidak terbeban dengan masalah kewangan untuk menampung kos sara hidup dan yuran pengajian.
Malah, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YWP membangunkan modal insan berkualiti dan berdaya saing, selaras dengan komitmennya menyokong inisiatif pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan sejak penubuhannya pada tahun 1986.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yang Berhormat (YB) Ir. Ts. Tuan Zahir Hassan; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, YBrs. Encik Muhamad Mustafa Ghazanfar dan YBrs. Puan Rohani Hussin serta wakil Datuk Bandar DBKL, YBrs. Puan Nur Qistina Md. Yusof.