Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pengoperasian sekolah sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini berjalan seperti biasa, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam susulan penyebaran hantaran tidak bertanggungjawab dalam media sosial yang cuba mengelirukan masyarakat mengenai jadual persekolahan dalam bulan Ramadan.

Menurut KPM, pengoperasian sekolah bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan akan terus berlandaskan Surat Siaran KPM Bilangan Tiga Tahun 2022 yang masih berkuat kuasa. Dalam usaha memastikan kelancaran persekolahan sepanjang bulan Ramadan serta memberikan keselesaan kepada murid dan guru beragama Islam untuk menunaikan ibadah, KPM telah menetapkan waktu persekolahan yang sesuai.

Bagi sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam, waktu tamat persekolahan akan diselaraskan seawal pukul 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sesi pembelajaran akan berakhir pada pukul 5.00 petang. Sementara itu, sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan waktu.

Dalam kenyataan yang sama, KPM mengingatkan semua Pengarah Bahagian serta Pengarah Pendidikan Negeri untuk memastikan pengetua dan guru besar institusi pendidikan di bawah seliaan mereka mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam surat siaran tersebut.

Menurut kenyataan KPM sebelum ini, kantin sekolah akan tetap beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan. Sebarang perubahan pengoperasian kantin pada bulan Ramadan hendaklah mendapat persetujuan bersama-sama pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengusaha kantin serta dimaklumkan kepada ibu bapa dan murid.

Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada sumber rasmi kementerian bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba mencetuskan kekeliruan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi