Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia pendidikan kini berdepan dengan cabaran besar dalam mengimbangi penggunaan teknologi digital dan kaedah pembelajaran konvensional. Ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), platform pembelajaran secara dalam talian dan kemudahan akses maklumat digital telah mengubah cara pelajar memperoleh ilmu. Namun begitu, kebergantungan penuh terhadap teknologi tanpa mengekalkan elemen konvensional boleh membawa kesan negatif kepada kualiti pendidikan dan perkembangan kognitif pelajar.

Perubahan drastik dalam sistem pembelajaran semakin ketara selepas pandemik COVID-19. Ketika sesi pembelajaran berlangsung secara dalam talian, banyak pelajar universiti menunjukkan kemerosotan dalam kebiasaan membaca bahan bercetak seperti buku dan jurnal akademik. Mereka lebih cenderung bergantung kepada sumber dalam talian yang sering disediakan dalam bentuk ringkas, mengurangkan daya tumpuan dan kebolehan mereka untuk menganalisis maklumat secara mendalam.

Selain itu, penggunaan AI dalam tugasan akademik telah mencetuskan kebimbangan mengenai integriti akademik. Pelajar kini semakin banyak menggunakan alat seperti ChatGPT dan perisian AI lain untuk menghasilkan tugasan tanpa benar-benar memahami kandungannya. Keadaan ini menimbulkan persoalan terhadap tahap kecekapan mereka dalam membentuk pemikiran yang kritis dan keupayaan untuk menghasilkan idea yang asli.

Fenomena ini juga telah memberikan kesan kepada tahap kecekapan penulisan pelajar. Banyak pelajar yang mengalami kemerosotan dalam kemahiran menulis kerana kurang menggunakan pen dan kertas. Tulisan tangan yang dahulunya menjadi asas dalam proses pembelajaran kini semakin terpinggir akibat kebergantungan terhadap komputer dan peranti elektronik.

Ketidakupayaan menulis dengan baik bukan sahaja memberikan kesan terhadap kualiti penulisan akademik tetapi juga keupayaan mereka mengekspresikan idea secara sistematik. Penulisan tangan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ingatan, meningkatkan daya tumpuan dan membantu dalam pembentukan struktur pemikiran yang lebih teratur.

Walaupun teknologi membawa kemudahan yang besar, namun cabaran utama adalah untuk memastikan pelajar dapat memanfaatkan teknologi tanpa mengabaikan keperluan pembelajaran konvensional. Dalam konteks ini, institusi pendidikan perlu merangka strategi yang lebih seimbang dengan menggalakkan penggunaan buku fizikal, latihan penulisan tangan serta sesi pembelajaran secara bersemuka yang lebih interaktif.

Dari segi pedagogi, tenaga pengajar perlu memainkan peranan penting dalam membentuk pendekatan yang mengimbangi kedua-dua kaedah ini. Sebagai contoh, tugasan akademik boleh diwajibkan dalam bentuk penulisan tangan bagi memastikan pelajar tidak hanya bergantung kepada komputer. Di samping itu, bahan rujukan bercetak perlu diwajibkan dalam kursus tertentu bagi menggalakkan pelajar membaca secara mendalam dan meningkatkan kefahaman mereka.

Pihak universiti juga perlu mengadakan bengkel latihan yang menekankan kepentingan literasi akademik secara konvensional dan digital. Hal ini termasuklah kemahiran membaca secara kritis, teknik penulisan yang berkesan dan etika dalam penggunaan sumber digital bagi mengelakkan isu ciplak (plagiarism) akibat penggunaan AI.

Selain itu, sistem penilaian akademik perlu diperhalusi agar pelajar lebih terdorong untuk memahami konsep yang dipelajari secara mendalam. Misalnya, ujian bertulis secara manual boleh diperkenalkan semula bagi menilai sejauh mana pelajar memahami subjek yang dipelajari tanpa bergantung kepada teknologi semata-mata.

Dalam jangka masa panjang, usaha mengimbangi pembelajaran digital dan konvensional juga akan memberikan kesan kepada kualiti graduan yang dihasilkan. Jika generasi pelajar masa kini terlalu bergantung kepada teknologi tanpa mengasah kemahiran asas seperti membaca secara kritis dan menulis secara berstruktur, mereka mungkin menghadapi kesukaran dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Sebagai contoh, isu yang berlaku Sweden boleh dijadikan sebagai rujukan dalam usaha mengembalikan keseimbangan antara pembelajaran digital dengan konvensional. Baru-baru ini, negara tersebut telah membuat keputusan untuk menggunakan kembali buku bercetak dalam sistem pendidikan mereka selepas mendapati pelajar mengalami penurunan dalam pemahaman dan kemahiran membaca akibat terlalu bergantung kepada peranti digital.

Kajian di Sweden menunjukkan bahawa pembelajaran melalui buku bercetak membantu meningkatkan daya ingatan dan pemahaman yang lebih mendalam berbanding dengan membaca melalui skrin. Langkah ini memberikan pengajaran penting bahawa walaupun teknologi memberikan kemudahan, namun kita tidak boleh menggantikan nilai pembelajaran konvensional sepenuhnya.

Namun begitu, keadaan ini tidak bermaksud teknologi harus diketepikan. Sebaliknya perlu dimanfaatkan dengan cara yang lebih berkesan. Penggunaan AI dan sumber digital boleh dijadikan sebagai alat tambahan dalam pembelajaran, bukan sebagai pengganti kepada kaedah konvensional. Pelajar harus diajar cara untuk menggunakan teknologi secara bijak dan beretika agar mereka dapat memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kedua-dua pendekatan tersebut.

Keseimbangan ini bukan sahaja penting kepada individu tetapi juga untuk sistem pendidikan secara keseluruhannya Jika sistem pendidikan hanya menekankan pembelajaran digital, keadaan ini boleh membawa kepada generasi pelajar yang kurang daya tahan terhadap cabaran akademik dan kemahiran penyelesaian masalah yang kompleks.

Oleh itu, pihak kerajaan dan institusi pendidikan perlu merangka dasar yang lebih holistik untuk memastikan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keperluan pembelajaran asas. Hal ini lah membina perpustakaan yang lebih interaktif, menyediakan program latihan untuk pensyarah dalam menggabungkan teknologi dengan kaedah konvensional, serta memperkenalkan kurikulum yang memberikan penekanan terhadap kemahiran membaca dan menulis secara manual.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka tidak hanya bergantung kepada peranti elektronik dalam pembelajaran. Mereka boleh menggalakkan anak-anak untuk membaca buku bercetak, menulis nota secara manual dan melibatkan diri dalam aktiviti akademik yang tidak melibatkan skrin.

Masa hadapan pendidikan yang ideal merujuk pendidikan yang dapat mengintegrasikan kemajuan teknologi dengan amalan pembelajaran secara konvensional. Keadaan ini dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga memiliki kemahiran asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Walaupun dunia digital semakin berkembang dengan kepesatan teknologi AI dan alat pembelajaran secara dalam talian, kita tidak boleh mengetepikan kepentingan kaedah konvensional. Dengan mengimbangi kedua-dua pendekatan ini, kita dapat melahirkan generasi pelajar yang lebih berdaya saing, kritis dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan akademik dan profesional mereka.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi