Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemenyih – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini giat melaksanakan pembinaan kabin-kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi sekolah di bandar dan luar bandar yang memerlukan ruang pembelajaran tambahan. Di Selangor sahaja, sebanyak 95 buah sekolah terlibat dalam projek ini yang membabitkan 301 bilik darjah dengan nilai peruntukan sebanyak RM69 juta.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi, Semenyih pada hari ini turut menyerahkan cek bernilai RM3000 kepada pihak sekolah sebagai sumbangan khas untuk membantu murid-murid B40 SK Taman Pelangi.

“Sekolah ini berjaya dibuka pada hari ini dengan kehadiran sebanyak 1005 murid yang telah mendaftar dari peringkat prasekolah hingga tahun enam. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas persiapan yang rapi serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang telah memastikan kelancaran pembukaan sekolah ini,” kata beliau.
Pada hari yang sama, SK Denai Alam turut mula beroperasi bagi menangani isu sekolah padat. Menurut YB Fadhlina, pembukaan dua sekolah baharu ini merupakan langkah jangka panjang untuk memastikan semua murid mendapat akses kepada pendidikan dalam persekitaran yang lebih kondusif.

“Bagi tahun 2025, KPM merancang untuk membuka sebanyak 17 sekolah baharu di seluruh negara sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menangani isu sekolah padat. Hal ini juga selari dengan peruntukan Belanjawan 2025 yang menyaksikan peningkatan dana bagi pembinaan sekolah-sekolah baharu,” tambah beliau.
Selain itu, KPM turut mempertimbangkan pelaksanaan sekolah dua sesi bagi menampung jumlah pelajar yang ramai. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kepadatan dalam kelas dan memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, sementara menunggu proses pembinaan sekolah baharu.

Dalam usaha menangani isu sekolah padat, KPM juga memberi tumpuan kepada penambahbaikan fasiliti sekolah sedia ada termasuk bilik darjah, makmal, serta kemudahan sukan. Pemantauan berterusan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi setiap sekolah yang terjejas.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Polis Selangor, YBhg. Dato’ Sasikala Devi A/P Subramaniam; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, YBrs. Dr. Jafri Abu; Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, YBrs. Puan Rahayu Ahmad serta Guru Besar SK Taman Pelangi Semenyih, YBrs. Puan Nur Hanani Md Nafi.