Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kulim – Trend penyalahgunaan dadah di dalam negara yang melibatkan individu berusia 15 tahun hingga 39 tahun semakin membimbangkan kerana jumlahnya mencecah 192,857 orang pada tahun lalu berbanding dengan tahun 2022 (137,176 orang) dan tahun 2023 (145,526 orang).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperuntukkan RM400 juta bagi program pemulihan dadah manakala setiap pusat pemulihan pula diperuntukkan RM60 juta hingga RM65 juta setahun.

Hal ini berikutan bilangan penagih dadah yang terus meningkat dari tahun ke tahun, demikian menurut YB Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika merasmikan Program AADK bersama-sama Masyarakat dan Peluncuran Kalendar Hari Antidadah 2025 di Kolej Tingkatan 6 Kulim, Padang Serai, semalam.

Tambah beliau, tema “Lebih Baik Cegah” dengan naratif baharu, iaitu “Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama” wajar dihayati dan bakal memberikan pelbagai kebaikan kepada masyarakat.

Kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak swasta, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat, keluarga, institusi pendidikan dan komuniti tempatan diperlukan dan boleh mewujudkan suasana persekitaran penduduk yang bebas daripada dadah.

Melalui pelbagai program yang dilaksanakan, masyarakat akan menerima maklumat terkini mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, terutamanya yang melibatkan generasi muda.

Berdasarkan data dikumpulkan oleh Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, AADK dan pusat pemulihan swasta, Kelantan merupakan negeri yang mempunyai bilangan penyalahgunaan dadah yang tertinggi diikuti dengan Terengganu, Perlis dan Kedah. Hal ini demikian kerana keempat-empat negeri berkenaan merupakan kawasan sempadan yang mudah dijadikan laluan penyeludupan.

Program AADK bersama-sama Masyarakat diadakan bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Antidadah, iaitu program tahunan AADK yang disambut pada 19 Februari pada setiap tahun.

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) ketika menyampaikan kad keahlian sukarelawan Skuad Antidadah.

Sambutan tersebut bertujuan untuk mengingatkan seluruh masyarakat agar memperkukuh komitmen dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memerangi ancaman dadah sebagai isu kesihatan dan keselamatan negara.

Antara program yang dijalankan sepanjang bulan Februari hingga bulan Jun 2025 termasuklah promosi dan publisiti, Omnipresence dan Walkabout Perdana, Ride AADK Madani, Sukan Hari Antidadah, Program Hari Terbuka AADK, Suara Skuad Antidadah, Kayuhan Berinformasi bersama-sama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Ceramah Makan Tengah Hari (lucheon talk), Audio Siar (podcast) dan khutbah Jumaat.

Para hadirin yang hadir dalam Program AADK bersama-sama Masyarakat di Kolej Tingkatan 6 Kulim, Padang Serai.

Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBhg. Datuk Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, YBhg. Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah AADK, YBhg. Dato’ Ruslin Jusoh dan ketua-ketua jabatan di bawah KDN.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi