Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan bakal membentangkan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) di Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menurut beliau, pindaan akta tersebut akan mengetepikan keperluan mendapatkan kelulusan lokasi berhimpun, sebaliknya badan atau kumpulan penganjur hanya perlu membuat pemakluman kepada polis dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan.
Keputusan ini mempermudah sebarang bentuk perhimpunan kecuali perhimpunan tersebut mencetuskan ancaman keselamatan.
“Sementara menunggu pindaan baharu berkuat kuasa, kerajaan memberikan moratorium untuk membolehkan perhimpunan aman berjalan tanpa memerlukan surat kebenaran pemilik premis,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, semalam.
Pindaan ini ialah reformasi penting selaras dengan prinsip MADANI yang menjunjung tinggi demokrasi, kebebasan bersuara dan perbezaan pandangan.
Terdahulu, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Yang Berhormat (YB) Kota Melaka dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis lalu berhubung dengan kesediaan kerajaan untuk meminda akta tersebut bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan dengannya sebelum berhimpun.
Beliau mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk memudahkan dan membantu pelaksanaan sebarang keputusan daripada badan atau kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan aman.
Ujar beliau, antara pindaan itu termasuklah Seksyen 11, Akta 736 berkaitan dengan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan yang menjadi pertikaian dan akan dikeluarkan daripada peraturan yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penganjuran perhimpunan aman sahaja dibenarkan manakala larangan perhimpunan yang melibatkan senjata atau kanak-kanak masih terpakai.