Diterbitkan pada 14 Februari 2025, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan laporan demografi bagi suku tahun keempat 2024, yang merangkumi data kelahiran hidup, kematian dan jumlah penduduk. 

Ketua Perangkawan Malaysia, YBrs. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menyatakan bahawa penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2024 dianggarkan 34.2 juta, meningkat daripada 33.7 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan penduduk mencatatkan penurunan kepada 1.3 peratus, berbanding dengan 2.0 peratus pada suku tahun keempat 2023. Menurut beliau, kadar pertumbuhan penduduk yang lebih perlahan ini selari dengan penurunan bilangan kelahiran hidup.

Laporan turut menunjukkan bahawa daripada jumlah keseluruhan penduduk, 30.8 juta orang (90.1 peratus) adalah warganegara, manakala 3.4 juta orang (9.9 peratus) adalah bukan warganegara.

Dari segi jantina, penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta, berbanding dengan 17.7 juta pada suku tahun keempat 2023, manakala penduduk wanita meningkat kepada 16.2 juta, berbanding dengan 16.0 juta dalam tempoh yang sama. Nisbah jantina keseluruhan ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, sementara nisbah jantina dalam kalangan warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Dari segi kumpulan umur, penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) meningkat daripada 23.6 juta orang (70.0 peratus) kepada 24.0 juta orang (70.2 peratus). Penduduk tua yang berumur 65 tahun dan ke atas juga meningkat daripada 2.5 juta orang (7.6 peratus) kepada 2.6 juta orang (7.7 peratus). Sementara itu, penduduk muda yang berumur antara 0 hingga 14 tahun mencatatkan penurunan daripada 22.4 peratus kepada 22.2 peratus.

Berdasarkan taburan etnik, penduduk Melayu mencatatkan peningkatan kepada 58.1 peratus, berbanding dengan 58.0 peratus pada suku tahun yang sama pada 2023. Penduduk etnik India pula menurun kepada 6.5 peratus, berbanding 6.6 peratus sebelum ini. Sementara itu, peratusan penduduk bagi kaum Bumiputera Lain dan etnik Cina kekal tidak berubah, masing-masing pada 12.3 peratus dan 22.4 peratus.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa bilangan kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 5.6 peratus, iaitu daripada sebanyak 111,265 kelahiran pada suku tahun keempat 2023 kepada 105,044 kelahiran pada suku tahun keempat 2024. Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 54,126 kelahiran, berbanding 50,918 kelahiran. Nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Negeri yang mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi ialah Selangor, dengan 20,006 kelahiran (19.0 peratus), manakala negeri yang mencatatkan kelahiran hidup terendah ialah Wilayah Persekutuan Labuan, dengan 321 kelahiran (0.3 peratus). Dari segi umur ibu, wanita berumur antara 30 hingga 39 tahun mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi, iaitu 51,849 kelahiran (49.4 peratus). Ini diikuti oleh wanita berumur 20 hingga 29 tahun (44.2 peratus), 40 tahun ke atas (4.3 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (2.1 peratus).

Data turut menunjukkan bahawa terdapat lima kelahiran yang direkodkan melibatkan ibu berumur 55 tahun ke atas. Secara purata, pada suku tahun keempat 2024, satu kelahiran berlaku pada setiap minit, 48 kelahiran berlaku setiap jam dan 1142 kelahiran berlaku setiap hari. 

Dari segi taburan kelahiran mengikut etnik, kelahiran hidup dalam kalangan orang Melayu mencatatkan 66.2 peratus (69,557 kelahiran), manakala kelahiran bagi kaum Bumiputera Lain dan etnik Cina masing-masing meningkat kepada 12.6 peratus dan 11.1 peratus, berbanding dengan 12.5 peratus dan 10.0 peratus pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Namun begitu, kelahiran bagi etnik India menurun kepada 3.9 peratus, berbanding dengan 4.6 peratus pada suku tahun keempat 2023.

Bagi statistik kematian, sebanyak 49,586 kematian direkodkan pada suku tahun keempat 2024, meningkat 0.5 peratus daripada 49,333 kematian yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Dari segi jantina, bilangan kematian lelaki ialah 28,596, manakala kematian perempuan ialah 20,990, dengan nisbah jantina bagi kematian sebanyak 136 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Negeri yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi ialah Selangor, dengan 7830 kematian (15.8 peratus), manakala negeri yang mencatatkan jumlah kematian terendah ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, dengan 85 kematian (0.2 peratus). Dari segi umur, penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mencatatkan bilangan kematian tertinggi, iaitu 34,527 kes (69.6 peratus), diikuti oleh individu berumur 41 hingga 59 tahun (20.9 peratus), 15 hingga 40 tahun (7.3 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (2.1 peratus). 

Data juga menunjukkan bahawa 4.4 peratus daripada jumlah kematian melibatkan individu berumur 90 tahun ke atas. Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, 22 kematian berlaku setiap jam dan 539 kematian berlaku setiap hari pada suku tahun keempat 2024.

Secara keseluruhannya, laporan ini menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan penduduk Malaysia semakin perlahan, disebabkan oleh penurunan kelahiran dan peningkatan jumlah kematian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi