Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 yang bermula pada 2 Disember 2024 hingga 6 Februari 2025 berjalan dengan lancar walaupun berdepan dengan situasi banjir.
Sebanyak 402 956 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun 2024 yang diadakan di sekitar 3 337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Walaupun peperiksaan SPM berlangsung dalam musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan bencana banjir di beberapa buah negeri, namun peperiksaan SPM telah berjaya dilaksanakan dengan baik.
Jelas KPM, kelancaran peperiksaan ini disebabkan oleh hasil kesiapsiagaan awal, pengurusan yang cekap serta kerjasama yang erat antara agensi kerajaan dengan agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, jabatan pendidikan negeri, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti.
KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan kelancaran peperiksaan SPM tahun 2024, iaitu kepada 126 636 orang petugas peperiksaan yang turut melibatkan 5 780 orang sukarelawan dalam kalangan orang awam termasuklah pesara guru yang telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2024.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua calon peperiksaan SPM tahun 2024 atas semangat juang, kecekalan dan kejayaan untuk menduduki peperiksaan termasuklah dalam situasi mencabar. KPM mendoakan yang terbaik untuk semua calon peperiksaan SPM tahun 2024. Semoga kejayaan menjadi milik anda untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” ujar KPM.