Diterbitkan pada 9 Februari 2025, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha memastikan agenda pencegahan rasuah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

KPM dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, pihaknya bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

KPM telah berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 November 2024 sebagai pemangkin pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ dalam kalangan murid yang berasaskan kepada nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.

Kit Duta Sahsiah juga selaras dengan fokus utama kementerian pada tahun 2025 untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi Madani KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.

“Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan yang meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang merupakan elemen penting dalam pembentukan karakter ‘karamah insaniah’ terkandung dalam Kit Duta Sahsiah,” jelas KPM.

Menurut KPM, duta sahsiah yang dipilih berperanan sebagai suri teladan untuk mempromosikan serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.

KPM juga komited dalam memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028. Hal ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan satu daripada agenda utama reformasi negara.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi