Diterbitkan pada 9 Februari 2025, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memutuskan untuk melantik tiga syarikat baharu bagi melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) selain PUSPAKOM, iaitu Wawasan Bintang Sdn. Bhd., Pakatan Petroleum Sdn. Bhd. dan Beriman Gold Sdn. Bhd.

Menurut MOT, pelantikan ini dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang telah bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] kepada syarikat lain yang berkelayakan.

Tawaran permohonan bagi PPKM telah dibuka pada 1 Julai 2024 hingga 31 Oktober 2024. Sepanjang tempoh tersebut, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima sebanyak 12 permohonan daripada syarikat yang berminat untuk menjadi penyedia PPKM.

Seperti yang diumumkan, ujar MOT, pelantikan ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuklah syarikat hendaklah mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dengan modal berbayar minimum RM10 juta, berstatus Sendirian Berhad dan pemilikan tempatan.

“Syarikat juga memenuhi kriteria utama seperti lokasi yang dipohon selari dengan senarai lokasi perkhidmatan PPKM yang telah ditetapkan oleh MOT. Kertas kerja permohonan yang dikemukakan menunjukkan potensi, kesediaan dan komitmen tinggi bagi memastikan kelulusan bersyarat yang diberikan dimanfaatkan sepenuhnya. Hasil lawatan tapak mendapati lokasi yang dipilih sesuai untuk operasi PPKM berdasarkan faktor keluasan, jarak dari kawasan perumahan, status pemilikan tanah serta zon penggunaan tanah memenuhi perancangan PLAN Malaysia. Lokasi ini merangkumi di Semenanjung Malaysia (Wilayah Tengah, Timur dan Selatan) serta Sarawak (Borneo),” katanya.

Walau bagaimanapun, jelas MOT lagi, bagi memperluas perkhidmatan PPKM, MOT akan membuka semula permohonan bagi PPKM Fasa Kedua mulai 1 Mac 2025 hingga 31 Jun 2025. Syarikat yang tidak berjaya dalam fasa pertama serta mana-mana syarikat lain yang berminat dipelawa untuk mengemukakan permohonan pada fasa kedua ini.

“MOT ingin menegaskan bahawa pembukaan lebih banyak PPKM bertujuan meningkatkan persaingan sihat serta memastikan pemeriksaan kenderaan yang lebih berkualiti demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. MOT melalui JPJ akan terus memantau dan memastikan syarikat-syarikat yang beroperasi sentiasa mematuhi peraturan keselamatan serta memiliki kemampuan teknikal dan kemahiran yang mencukupi untuk melaksanakan pemeriksaan kenderaan bagi pihak JPJ,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi