Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Februari 2025, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam usaha menyokong pembangunan semula Gaza, Kementerian Luar Negeri bersama-sama dengan Jepun kini sedang menyelaraskan penganjuran Mesyuarat Menteri-menteri Persidangan Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin ke-4 (CEAPAD IV) yang menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Menurut Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya pada Jumaat lalu, pihaknya komited untuk bekerjasama dengan Negara Matahari Terbit tersebut di bawah rangka kerja CEAPAD bagi menjawab seruan mendesak rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan.

Tambah pihaknya, perkara ini selaras dengan kenyataan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengenai keperluan desakan untuk mempercepat usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.

Fokus utama CEAPAD IV merangkumi program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh dan pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.

Di samping itu, pihaknya turut memaklumkan bahawa Malaysia akan turut serta dalam pembangunan semula infrastruktur penting seperti pembinaan bangunan sekolah, hospital dan masjid sebagai bukti komitmen kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.

“Bidang-bidang ini penting untuk memperkukuh institusi Palestin serta meningkatkan kesejahteraan rakyatnya sejajar dengan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri bagi Palestin,” jelas pihaknya.

Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan kumpulan ini dalam usaha membangunkan semula Gaza.

“Perkara ini termasuklah dengan mengadakan satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin dapat disalurkan dengan lebih cekap, tersusun dan mampan untuk pembangunan jangka panjang,” ujarnya lagi.

Malah, pihaknya mengulas dengan lebih lanjut bahawa Mesyuarat Peringkat Pegawai CEAPAD pada 18 Julai 2024 lalu telah mengulangi keperluan desakan untuk meningkatkan penyelarasan dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Antara keperluan lain yang diutarakan termasuklah kepentingan pemulihan dan pembangunan jangka panjang serta reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan untuk Palestin.

Selain itu, pihaknya menegaskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan peranan proaktif Malaysia untuk mendapatkan sokongan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama bagi memastikan usaha pembangunan semula Palestin dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

Sementara itu, CEAPAD ialah platform serantau yang diterajui oleh Jepun sejak tahun 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.

“Malaysia kekal memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan rakan antarabangsa untuk memastikan CEAPAD IV diterjemahkan kepada tindakan nyata yang menyokong pembangunan semula dan kestabilan jangka panjang Palestin,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi