Diterbitkan pada 27 Januari 2025, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Presiden Republik Indonesia, Yang Mulia Prabowo Subianto.

Pengurniaan ini berlangsung dalam munjungan menghadap di Istana Negara, yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Baginda Tuanku Sultan Ibrahim kemudian meraikan delegasi kedua-dua negara dalam sebuah Majlis Santapan Negara sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi Lawatan Negara pertama Presiden Prabowo Subianto ke Malaysia.

Ketibaan Yang Mulia Presiden Prabowo pada pagi tadi disambut dengan penuh adat istiadat, termasuklah pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Lawatan Negara ini menandakan hubungan erat dan persahabatan kukuh antara Malaysia dengan Indonesia, dua negara pengasas ASEAN, serta komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama demi kemakmuran serantau.

Lawatan tersebut merupakan yang pertama oleh Ketua Negara asing ke Malaysia sejak pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong dan juga lawatan pertama Yang Mulia Prabowo Subianto ke negara Asia Tenggara selepas pelantikannya pada 20 Oktober 2024.

Semasa lawatan ini, Yang Mulia Prabowo Subianto turut dijadualkan bertemu Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pelbagai isu kerjasama dua hala, termasuklah politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.

Hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Indonesia terus mencatatkan pertumbuhan. Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan dua hala meningkat kepada RM106.06 bilion (USD23.2 bilion), berbanding dengan RM101.99 bilion (USD22.41 bilion) pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Terdahulu, pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar dalam ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi