Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown — Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Pusat Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADRC) telah menganjurkan program The Role of Mediation in Effective ESG Leadership di Bangunan Toray, Universiti Sains Malaysia (USM) petang semalam yang bertujuan untuk memberikan pendedahan dan penerangan tentang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ARC) dengan menggunakan kemahiran mediasi, iaitu alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh bagi menyelesaikan konflik dan pertikaian.

Moderator sesi panel ketiga, YBrs. Encik Ng Choon Chuan, memulakan perbincangan dengan mengetengahkan trend kepimpinan mediasi “ESG” yang semakin meningkat. Beliau menekankan pentingnya faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaburan perniagaan, mencapai kesepakatan dan membuat keputusan.
“Kepimpinan mediasi ESG memainkan peranan penting dalam memudahkan perbincangan dan membuat keputusan berkaitan isu ESG. Kemahiran kepimpinan ini membantu organisasi mencapai matlamat kemampanan, mengurangkan risiko terhadap keputusan yang telah dibuat serta meningkatkan reputasi dan kredibiliti,” ujar beliau dalam sesi mukadimah sebelum memberi ruang kepada sesi forum.
Menurut beliau, kepimpinan mediasi ESG memberi tumpuan kepada permintaan organisasi terhadap nilai-nilai ESG, menggalakkan kolaborasi antara bidang, perpaduan prinsip ESG dengan kaedah tadbir urus sedia ada serta penekanan pada ketelusan dan kebertanggungjawapan terhadap visi kemampanan sesebuah organisasi. Kemajuan teknologi turut menjadi faktor penting dalam mengukuhkan bidang ini.

Ahli panel pertama, seorang peguam merangkap Ahli Lembaga Rayuan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang, YBhg. Dato’ T. Tharumarajah menekankan kelebihan mediasi berbanding litigasi atau proses pembicaraan undang-undang di mahkamah.
“Mediasi dapat menjimatkan kos dan masa. Pada masa ini, pengaplikasian nilai-nilai ESG lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat besar kerana pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan dengan ESG mempunyai kaitan rapat dengan pematuhan kepada peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti,” jelas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa kepimpinan transformasi ESG boleh memberikan impak besar kepada prestasi, produktiviti dan pencapaian organisasi. “Jika pegawai bertanggungjawab terhadap aspek ESG dilengkapi dengan pengetahuan asas, kesannya kepada organisasi akan sangat positif,” tambah YBhg. Dato’ T. Tharumarajah.
Menurut beliau, kerajaan semakin giat memantau pematuhan ESG oleh organisasi. Transformasi kepada nilai-nilai ESG ini bertujuan memastikan syarikat mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang baik.

Ahli penel kedua, Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong pula menekankan perlunya organisasi melatih mediator dalaman untuk menyelesaikan konflik sebelum membarah. “Mediasi adalah cara untuk menyelesaikan masalah dengan harmoni, meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti organisasi,” kata beliau.
Beliau juga mencadangkan supaya dasar mediasi dimasukkan ke dalam tadbir urus organisasi. “Penyelesaian dalaman melalui mediasi dapat mengelakkan keperluan merujuk kepada mediator luar,” tambah beliau.

Ahli panel ketiga, Pensyarah Kanan Pengurusan Projek Pembinaan USM, YBrs. Dr. Zul Zakiyuddin Ahmad Rashid membincangkan tentang pentingnya penyesuaian matlamat ESG dengan etika global. “Perkara yang dianggap beretika di China atau Amerika Syarikat mungkin tidak sesuai di Malaysia, atau sebaliknya. Namun begitu, kita mempunyai garis asas yang boleh diukur menggunakan ESG,” kata beliau.
Beliau memberikan contoh penggunaan standard minimum seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). “Konvensyen ILO menyediakan perlindungan hak pekerja, majikan dan mempromosikan amalan standard,” jelas beliau.
YBrs. Dr. Zul Zakiyuddin turut menyatakan bahawa pengemaskinian Akta Buruh di Malaysia berdasarkan konvensyen ini adalah langkah penting ke arah mencapai matlamat ESG.
Keseluruhan program ini menegaskan bahawa kepimpinan ESG mediasi adalah bidang yang dinamik dan terus berkembang. Peningkatan keperluan kemahiran dan pengalaman dalam mediasi ESG selaras dengan permintaan terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan mampan. Program ini memberikan pandangan mendalam kepada para peserta tentang bagaimana mediasi dapat membantu organisasi menguruskan risiko, meningkatkan reputasi dan mencapai matlamat kemampanan.
Program ini disertai oleh kira-kira 90 orang peserta dalam talian dan 60 orang peserta secara bersemuka.