Diterbitkan pada 18 Januari 2025, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

London – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menerusi syarahan beliau di London School of Economics (LSE) bertemakan The Adaptive Edge: Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era, menegaskan keperluan Malaysia untuk menjadi negara yang adaptif, berdaya tahan, berprinsip dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Beliau menekankan bahawa kedudukan strategik Malaysia dalam rantaian bekalan global dan laluan perdagangan maritim menuntut negara ini memahami bukan sahaja apa-apa yang diinginkan tetapi juga identiti sebagai sebuah negara.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan menghidupkan kembali mekanisme seperti ASEAN Plus Three yang melibatkan kerjasama ASEAN dengan China, Jepun dan Korea, serta Sidang Kemuncak Asia Timur.

“Forum ini memiliki kuasa perhimpunan yang signifikan tetapi masih kurang dimanfaatkan,” ujar Perdana Menteri. Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia akan berusaha menjadikannya sebagai wadah untuk mencari solusi strategik yang bebas daripada perselisihan kuasa besar.

YAB Dato’ Seri Anwar juga menegaskan bahawa hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat dan China adalah berdasarkan pada rasa hormat dan kepentingan bersama. “Amerika Syarikat kekal sebagai sumber utama pelaburan langsung asing di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi, manakala China telah menjadi rakan dagang terbesar sejak 2009,” tambah beliau.

Beliau menolak konsep permainan “campur-tolak” antara kuasa-kuasa besar, sambil menekankan bahawa hubungan yang seimbang ialah strategi pragmatik untuk melindungi kepentingan Malaysia selain untuk memastikan pengukuhan dan kerencaman ekonomi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberi syarahan umum di London School of Economics. – AFIQ HAMBALI

Perdana Menteri turut menggariskan kejayaan rangka kerja Ekonomi MADANI yang diperkenalkan pada tahun 2023. Memfokuskan pertumbuhan ekonomi mampan dan pengagihan kekayaan yang inklusif, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi lima peratus, inflasi stabil di bawah dua peratus dan pelaburan asing diluluskan bernilai lebih RM100 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun 2024.

Malaysia kini memfokuskan industri semikonduktor yang bertujuan untuk meningkatkan nilai tambah melalui aktiviti huluan. Dalam masa terdekat, Malaysia bakal melancarkan taman reka cip kedua untuk memacu perkembangan ini.

“Dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu menjelang 2050, Malaysia juga meningkatkan peralihan tenaga dan mengutamakan kelestarian,” ujar beliau.

YAB Dato’ Seri Anwar menyifatkan keputusan Malaysia untuk menyertai kesatuan ekonomi BRICS sebagai langkah strategik yang tidak memihak kepada mana-mana blok kuasa besar, tetapi pengiktirafan jelas terhadap perubahan geopolitik dan geoekonomi. 

Langkah ini, menurut Perdana Menteri merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memperluas pilihan dan meningkatkan daya tahan pada peringkat global.

 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar  merasmikan Auditorium Malaysia di London School of Economics pada 17 Januari 2025.

Selepas selesai sesi syarahan, YAB Dato’ Seri Anwar berkesempatan merasmikan Auditorium Malaysia di LSE, sebuah dewan berkapasiti 460 tempat duduk hasil sokongan dermawan dari Persatuan Alumni Malaysia universiti tersebut.

 

Kredit Foto: Media Perdana Menteri, Afiq Hambali
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi