Diterbitkan pada 16 Januari 2025, 20:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pagoh – Program 6th University in Action Symposium berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh pada 16 Januari lalu dengan slogan Bridging University and Community Towards Ummatic Mind: Showcasing MADANI in Action menyaksikan Projek Bahasa Cendekia dan Projek Pawealth mengungguli Anugerah Emas (Gold Award).

Projek Cendekia Bahasa yang telah merangkul Anugerah Emas bagi kategori Usrah in Action 1 (UIA 1) berfokuskan pada pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Projek Cendekia Bahasa dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas bagi kategori UIA 1.

Sementara itu, projek ‘Pawealth’ yang memenangi Anugerah Emas bagi kategori Usrah in Action 2 (UIA 2) pula menumpukan kepada pembangunan komuniti menerusi kegiatan kolaboratif seperti acara memasak yang melibatkan pelbagai kaum,sekali gus memupuk perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, Pengarah Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, YBrs. Profesor Dr. Zainal Abidin Sanusi dalam ucapannya berkata, universiti pada masa ini berusaha gigih untuk memastikan penglibatan komuniti tidak lagi dianggap sebagai perkara sampingan, tetapi diangkat sebagai elemen wajib yang integral dalam pelaksanaan misinya.

Hal ini demikian kerana, pada penghujungnya, pembelajaran yang paling berkesan dan bermakna diperoleh apabila kita melibatkan diri secara langsung dalam masyarakat.

Selain itu, penganjuran simposium tersebut merangkumi 13 seksyen yang terdiri daripada dua kategori utama, iaitu Usrah in Action 1 (UIA 1), Usrah in Action 2 (UIA 2) dan tiga buah projek lagi di bawah kursus “Pembangunan Pelancongan Mampan” melalui pendekatan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Malah, pelaksanaannya pada tahun ini menghimpunkan sebanyak 3365 orang pelajar dari tiga buah kampus UIAM berkenaan yang melibatkan 152 projek yang dilaksanakan di 150 buah lokasi.

Sementara itu, UIAM telah menawarkan kursus UIA yang berada di bawah kelolaan Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, aktif melaksanakan projek berteraskan inovasi untuk pembangunan masyarakat di setiap kampusnya, iaitu Gombak, Kuantan dan Pagoh.

Timbalan Dekan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, YBrs. Shahrul Nizam Mohd Basari berkata, hasil utama bagi kursus ini ialah kejayaan projek yang menghubungkan semua pelajar dengan komuniti setempat, termasuk beberapa buah kumpulan sasaran seperti anak yatim, penduduk kampung luar bandar dan orang asli.

Projek ini menekankan pelbagai aspek seperti penyelesaian masalah, pemerkasaan komuniti dan pembangunan kepimpinan yang bertujuan untuk menjadikan pendidikan sebagai alat untuk memberikan impak kepada masyarakat.

Melalui program Usrah in Action: Wahana Inovasi dalam Pembangunan Masyarakat, usaha murni pelajar dan pihak UIAM direalisasikan dalam usaha memacu perubahan positif kepada masyarakat.

Keseluruhan inisiatif ini menjadi wahana inovasi dalam pembangunan masyarakat dengan memanfaatkan kreativiti, kolaborasi dan tindakan praktikal untuk memperkasakan komuniti dan memberikan penyelesaian kepada isu-isu semasa.

Barisan tetamu kehormat yang hadir dalam 6th University in Action Symposium di UIAM Kampus Pagoh.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi