Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Visi Komuniti ASEAN 2025 memberikan penekanan dan komitmen ASEAN untuk membangunkan kawasan yang lebih bersepadu, stabil dan makmur dengan memberikan tumpuan kepada teras utama yang merangkumi komuniti politik-keselamatan ASEAN, iaitu bertujuan mempromosikan kerjasama antara negara anggota dalam menangani isu keselamatan dan kestabilan politik.
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Cawangan Perlis, mengambil inisiatif untuk menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai Masa Depan ASEAN (ICoFA) kali kelima secara maya. Bertemakan “Menuju Visi Komuniti ASEAN 2025”, persidangan ini bertujuan untuk memperkasa dan mengukuhkan hala tuju ASEAN ke arah matlamat pembangunan yang mampan dan inklusif, selari dengan visi yang digariskan melalui Komuniti ASEAN 2025.
Pengerusi ICoFA 2025, Prof. Madya Dr. Mahyudin Ahmad ketika ditemui memaklumkan, iCoFA pada tahun ini telah menerima sebanyak 84 penyertaan dengan 76 daripadanya diterima untuk pembentangan, termasuk 60 daripada peserta tempatan dan 24 daripada delegasi antarabangsa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang merangkumi daripada pembuat dasar, akademia, penyelidik dan pakar industri.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan pembentang atas sumbangan yang amat berharga, serta kepada semua jawatankuasa penganjur atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dan komitmen mereka dalam menjayakan ICoFA 2025. Marilah kita bersama-sama membuka jalan untuk komuniti ASEAN yang lebih kukuh dan bersatu,”ujar beliau mengakhiri ucapan.
Sebagai rekod, persidangan ICoFA 2025 kali ini bukan sahaja menyemarakkan perbincangan tentang teras dan cabaran yang digariskan, malah turut membuka peluang untuk meningkatkan kerjasama serantau dalam aspek yang lebih luas termasuk penyelidikan, penerbitan, inovasi, keusahawanan, selain bidang aplikasi teknologi yang menjadi tujahan negara ASEAN seperti kecerdasan buatan (AI).

