Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) komited menyediakan inisiatif pembelajaran yang holistik, inklusif dan menyeronokkan bagi memastikan anak-anak kecil Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mendapat asas pendidikan dan nilai yang kukuh.
Demikian sembah maklum Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, YBrs. Haji Zairuddin Mat Zuini kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Majlis Apresiasi TASKA KEMAS Negeri Perlis Tahun 2024 yang diadakan di Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit, Perlis.
YBrs. Haji Zairuddin Mat Zuini berkata, inisiatif ini bukan sahaja memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan terbaik, tetapi juga memperkasa pembentukan sahsiah, nilai murni dan asas pembelajaran yang kukuh dengan kerjasama dan sokongan padu pelbagai pihak, termasuk ibu bapa, komuniti setempat serta agensi-agensi yang berkaitan.
Menurut beliau, hasil didikan yang teliti daripada pendidik TASKA, ibu bapa dan penjaga dalam memberikan perkhidmatan, penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti memainkan peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak dan merupakan pelaburan terbaik untuk masa depan.
Tanggungjawab ini tidak mudah, tetapi dedikasi semua pihak adalah asas kukuh untuk membina generasi pewaris negara yang cemerlang.
Melalui ucapan alu-aluan, beliau menyatakan bahawa majlis ini merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha gigih serta komitmen tinggi warga TASKA KEMAS Negeri Perlis dalam meraikan anak-anak TASKA KEMAS yang berusia empat tahun pada 2024 yang melibatkan 168 orang murid dan 64 orang guru.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang telah memberikan kerjasama erat kepada TASKA KEMAS Negeri Perlis sepanjang tahun 2024 serta semua barisan jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus dalam memastikan penganjuran majlis ini berjalan dengan lancar.

Dalam majlis yang sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil kepada murid dari Tabika Parlimen Padang Besar, Tabika Parlimen Arau dan Tabika Parlimen Kangar.
Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyaksikan pengurniaan sumbangan Yayasan MyPrihatin yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Muhd Al-Bazli Bakar dan Etiqa Family Takaful Berhad (ETIQA) yang diwakili oleh Ketua Pengurusan Shariah, Ahmad Mushidi Ahmad Mukhtar kepada enam orang pelajar yang mewakili Tabika KEMAS Kampung Paya, Tabika KEMAS Alor Tampang, Tabika Taman Hijran, Tabika KEMAS JKR, Tabika KEMAS PPAK Arau 1 dan Tabika Simpang Empat.
Sebagai rekod, Yayasan MyPrihatin telah menjalinkan kerjasama bersama Etiqa Family Takaful Berhad (ETIQA) dan Persatuan Solidariti Nasional (PERSONA) Negeri Perlis dan menyerahkan kelengkapan persekolahan berupa baju seragam sekolah serta beg sekolah kepada wakil pelajar TABIKA KEMAS Negeri Perlis.