Diterbitkan pada 13 Januari 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Tunku – Mulai tahun 2025, Bantuan Awal Pendidikan (BAP) akan diperluas kepada pelajar Tingkatan Enam. Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa peruntukan BAP bagi murid Tingkatan Enam dijangka disalurkan ke sekolah pada Februari 2025. Dianggarkan sebanyak 100 000 pelajar Tingkatan Enam akan menerima bantuan ini buat pertama kali, dengan unjuran peruntukan sebanyak RM15 juta.

“Penyerahan BAP kini sedang berlangsung di seluruh negara, dimulakan di Kelantan dan Kedah semalam. Hari ini, penyerahan diteruskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Sabah, serta akan berlangsung sepanjang minggu hingga semua negeri menerima bantuan,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan dalam Program Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

Tambah beliau, peluasan BAP ini memberikan manfaat kepada lebih banyak pelajar, termasuklah pelajar Tingkatan Enam, yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan. “Tahun ini, peningkatan dan peluasan penerima bantuan ini amat signifikan kerana sebelum ini, BAP hanya diberikan kepada murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima,” jelas YB Fadhlina.

Beliau turut menekankan pentingnya proses pengagihan yang cekap, telus dan selamat. “[Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)] telah mengambil langkah untuk memastikan proses ini berjalan lancar, termasuk memperluas saluran agihan bantuan ke akaun bank ibu bapa atau penjaga tanpa mengira jenis bank.”

Untuk penerima yang masih menerima BAP secara tunai, beliau mengingatkan pihak sekolah agar mematuhi peraturan perbendaharaan jika melibatkan pengeluaran wang melebihi RM10,000, termasuklah pengiringan pegawai polis bagi tujuan keselamatan.

“Keseluruhan proses ini telah terbukti cekap dan selamat berdasarkan pengalaman sebelumnya. Paling utama, bantuan ini mampu mengurangkan beban rakyat, khususnya ibu bapa dan penjaga murid,” ujar beliau.

YB Fadhlina turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar menggunakan wang bantuan RM150 itu sepenuhnya untuk keperluan persekolahan anak-anak. Beliau juga mengingatkan pihak sekolah supaya tidak memotong jumlah tersebut bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau yuran-yuran lain. “Wang RM150 ini mesti diberikan sepenuhnya kepada ibu bapa dan penjaga, seperti yang diumumkan oleh KPM,” tegas beliau.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah agar memastikan wang bantuan RM150 digunakan sepenuhnya untuk keperluan persekolahan anak-anak tanpa sebarang potongan yuran.

Pengagihan BAP oleh pihak sekolah kepada murid akan dilaksanakan melalui tiga kaedah utama, iaitu pengkreditan ke dalam akaun bank murid; pengkreditan ke dalam akaun ibu bapa atau serahan tunai. 

Jadual agihan BAP bagi sesi persekolahan 2025 telah ditetapkan mengikut kumpulan murid. Agihan untuk murid Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2024/2025 akan bermula pada 13 Januari 2025. Bagi murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 dan murid Tingkatan Enam sedia ada bagi sesi 2024/2025, agihan dijadualkan bermula pada 16 Februari 2025.

Sementara itu, murid Tingkatan Enam baharu bagi sesi persekolahan 2025/2026 akan menerima BAP mulai 1 Julai 2025. 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Fahmi Fadzil; Pengarah Pendidikan JPWPKL, YBrs. Encik Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Zahir Hassan; serta beberapa wakil parlimen, pegawai pendidikan, guru besar, ibu bapa dan murid sekolah.

Sebagai rekod, BAP diperkenalkan sejak tahun 2012 sebagai bantuan tunai sekali beri (one-off) untuk meringankan beban kewangan ibu bapa pada awal sesi persekolahan. Untuk sesi 2025/2026, BAP diberikan sebanyak RM150 bagi setiap murid warganegara, tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Peruntukan keseluruhan BAP bagi tahun 2025 berjumlah RM791.25 juta, dengan RM723.17 juta telah disalurkan kepada 4,821,102 murid di seluruh negara setakat 10 Januari 2025.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi