Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 8 Januari 2025, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengumumkan senarai penerima lesen baharu bagi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Menurut Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa pihaknya kini berada dalam fasa terakhir untuk melantik pusat pemeriksaan kenderaan motor baharu selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Pihak kementerian berharap pelaksanaan ini akan memastikan pemeriksaan keselamatan kenderaan lebih efisien dan seterusnya meningkatkan keselamatan kepada semua pengguna,” kata beliau.

Kita harap sejurus mereka (syarikat) diberikan lesen, mereka dapat menjalankan kerja-kerja pembinaan dengan secepat mungkin supaya ada operator baharu (bagi pemeriksaan kenderaan) menjelang penghujung tahun ini.

“Perkara ini diharapkan dapat direalisasikan pada tahun ini, adanya persaingan kepada pusat pemeriksaan kenderaan yang lain dan bukannya bergantung pada PUSPAKOM semata-mata,” tegas beliau.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan menambah baik prosedur dan aspek teknikal pemeriksaan kenderaan berat daripada PUSPAKOM dengan berfokuskan kepada keselamatan komponen yang kritikal seperti tayar dan sistem brek bagi memastikan spesifikasi keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

Sebelum ini, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa PUSPAKOM tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan bermula 1 September 2024.

Perkara tersebut susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2024 yang memutuskan agar perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing dan memudahkan orang ramai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi