Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan kenderaan berat, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) giat memperkasakan penguatkuasaan digital dengan pemasangan sistem High Speed-Weight in Motion (HS-WIM) dan penambahbaikan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).
Menurut Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataanya pada Isnin lalu, HS-WIM kini berada dalam pelaksanaan pembangunan peringkat akhir dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.
Beliau mengatakan bahawa pelan induk yang melibatkan penguatkuasaan HS-WIM dibangunkan untuk meningkatkan lagi pemasangan sistem tersebut di kawasan tumpuan yang mempunyai risiko tinggi berlaku kemalangan.
Tambah beliau, hasrat untuk memperkenalkan sistem ini sudah dinyatakan sejak sekian lama dan pihaknya tidak mahu melengahkan lagi pelaksanaannya kerana sistem tersebut telah selesai menjalani Proof of Concept (POC) pada tahun lepas.
Kita mesti melaksanakan pemasangan HS-WIM pada tahun ini.
“HS-WIM merupakan satu pendekatan baharu untuk kita memantau pergerakan kenderaan berat yang melebihi had muatan kerana sistem ini menggunakan tekonologi (automatik) dan kamera.
Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan kamera AwAS akan ditambah baik dengan menggunakan kaedah point to point berbanding dengan kaedah statik yang digunakan buat masa ini.
“Melalui penambahbaikan kamera AwAS dengan mekanisme point to point, MOT yakin bahawa usaha ini dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran disiplin pemandu di seluruh negara,” ujar beliau.
“Sepertimana yang kita tahu bahawa kamera AwAS statik pada satu kawasan sahaja sekarang ini, tambah lagi kita menguatkuasakannya dengan cukup berhemah dengan notis tiga papan tanda sebelum sampai ke kawasan tumpuan kemalangan,” jelas beliau lagi.
Kita tidak mahu pemandu menurunkan kelajuan di depan kamera AwAS sahaja, tetapi dalam keadaan suatu jarak menerusi penggunaan tempoh masa (untuk sampai dari satu titik ke satu titik).
Sekiranya pemandu menggunakan masa kurang daripada yang sepatutnya, maksudnya pemandu tersebut melakukan pecutan dan akan dikenakan tindakan.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan kamera AwAS yang statik sudah tidak lagi mencapai objektifnya kerana hasrat pihaknya adalah untuk mengurangkan kelajuan dan risiko kemalangan.