Diterbitkan pada 7 Januari 2025, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri,YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, YM Lawrence Wong, hari ini mengadakan pertemuan bersempena dengan Sidang Tahunan antara kedua-dua negara.

Ketika berucap di sesi sidang media usai Mesyuarat Terhad Malaysia-Singapura (ALR), YAB Dato’ Seri Anwar menzahirkan bahawa beliau dan YM Lawrence Wong senada dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi serta meneroka peluang kerjasama baharu sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Kami menganggap Singapura bukan sekadar jiran, tetapi sekutu penting yang komited untuk memperkukuh hubungan dua hala. Banyak pencapaian telah direkodkan dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, tenaga dan pelaburan,” ujar Perdana Menteri Malaysia. Beliau turut menekankan bahawa Singapura kekal sebagai rakan dagangan dan pelabur utama Malaysia.

Salah satu fokus utama perbincangan ALR pagi tadi ialah pembangunan Zon Ekonomi Johor-Singapura, yang dianggap sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan kedua-dua negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri Lawrence Wong untuk memastikan kejayaan projek ini bukan sahaja bagi Johor dan Malaysia, tetapi juga Singapura,” kata beliau.

Selain itu, isu-isu maritim turut dibincangkan, dengan komitmen jelas untuk mencapai kemajuan kedua-dua negara. Menurut beliau, perbincangan berkaitan dengan pengeksportan tenaga dari Sarawak ke Singapura menggunakan kabel dasar laut juga menjadi perhatian, dengan penyertaan teknikal diperlukan bagi memastikan kelancaran projek ini.

Dalam perjumpaan yang sama, isu Kawasan Informasi Penerbangan (FIR) turut disentuh, dengan fokus pada kepentingan Malaysia dalam memastikan sambungan Sabah dan Sarawak, sambil memenuhi keperluan Singapura untuk memantapkan operasi di Lapangan Terbang Changi dan Selangar.

YAB Dato’ Seri Anwar turut menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan Singapura terhadap kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan menyatakan keyakinannya terhadap kerjasama erat antara kedua-dua pemimpin.

“Saya turut menghargai dukungan Singapura kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dan kami juga sepakat terkait kepentingan untuk kesemua negara anggota  terus bekerjasama rapat untuk menangani pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi,” tambah beliau.

Sidang ini turut dihadiri oleh beberapa menteri dari kedua-dua negara, mencerminkan kepentingan hubungan kukuh Malaysia-Singapura dalam pelbagai aspek.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi