Diterbitkan pada 5 Januari 2025, 19:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada hari ini mengumumkan penamatan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang sebelum ini dikeluarkan untuk negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Menurut MetMalaysia, analisis terkini model cuaca menunjukkan keadaan cuaca di kawasan tersebut semakin baik dan tiada lagi potensi hujan berterusan dalam tempoh terdekat.

Amaran yang dikeluarkan pada 1 Januari 2025, pukul 12.00 tengah hari kini secara rasminya ditamatkan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, MetMalaysia menggesa orang ramai untuk terus mengikuti perkembangan terkini cuaca melalui saluran rasmi bagi memastikan keselamatan dan kesiapsiagaan mereka.

Antara saluran yang boleh diakses termasuklah laman web rasmi Jabatan tersebut, aplikasi mudah alih myCuaca serta laman media sosial rasmi MetMalaysia.

Penamatan amaran ini dijangka membawa kelegaan kepada penduduk di kawasan yang terjejas, terutamanya mereka yang sebelum ini berdepan dengan risiko banjir akibat hujan berterusan.

Bagaimanapun, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Ribut Petir di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah sehingga pukul 6.00 petang hari ini. 

Kawasan yang terlibat ialah Kedah (Baling dan Kulim); Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim); Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Rompin); Selangor (Hulu Selangor); Johor (Mersing); dan Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Tatau, Bintulu, Subis, Miri, Marudi serta Limbang).

Di Sabah, kawasan yang terlibat dalam amaran ribut petir termasuklah daerah Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, dan Nabawan; kawasan Pantai Barat iaitu Ranau; daerah Tawau meliputi Tawau dan Kunak; kawasan Sandakan termasuklah Telupid dan Beluran serta kawasan Kudat melibatkan Kota Marudu dan Pitas.

Amaran Ribut Petir dikeluarkan apabila terdapat tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Menurut kenyataan tersebut, amaran ini adalah bersifat jangka pendek dan hanya sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi