Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Perdana Menteri bersama-sama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Majlis Amanat Tahun Baharu Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri pagi tadi, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan mengenai kepentingan untuk menyediakan ruang dan peluang kepada penjawat awam, khususnya kepada pegawai muda agar dapat menjalani latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengetahuan digital dan peralihan tenaga.

Beliau turut mencadangkan saluran dana sebanyak RM200 juta tambahan diberikan kepada penjawat awam untuk menjalani latihan intensif, iaitu tidak semestinya dalam bentuk ijazah akademik. 

“Pada tahun ini, saya mahu penjawat awam muda diberikan pendedahan pengetahuan semaksimum yang mungkin supaya pada tahun yang mendatang datang, negara akan dapat melahirkan barisan kedua penjawat awam yang bukan sahaja dapat menyelami hasrat MADANI, malah turut terlatih dalam bidang masing-masing,” ujar beliau.

“Saya mahu, dalam beberapa tahun akan datang, keupayaan tenaga kerja perkhidmatan awam mampu mengatasi keupayaan konsultan yang ada di luar sana. Apakah kekurangan penjawat awam yang ada berbanding dengan konsultan luar? Adakah isu utama terletak pada aspek latihan, kecekalan atau kecekapan penjawat awam?” soal beliau.

Hal ini demikian kerana, menurut beliau, kekuatan para penjawat awam ialah mereka sentiasa berdepan dengan permasalahan dan pelaksanaan secara praktik pada setiap hari, berbeza daripada golongan yang hanya merangka teori melalui perbincangan dan penilaian di atas kertas sahaja.

Menurut beliau, latihan ini juga perlu bersifat menyeluruh dengan meliputi semua peringkat dan kepakaran. 

Pendekatan ini selari dengan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan perkhidmatan awam di negara ini sebagai contoh terbaik dalam kalangan negara membangun dan negara Islam.

Beliau turut menegaskan tentang kepentingan dalam usaha untuk membina sebuah negara hebat melalui lonjakan prestasi perkhidmatan awam yang lebih baik dan cekap. Cabaran ini harus disambut oleh penjawat awam dengan menterjemahkannya kepada perkhidmatan berkualiti untuk rakyat, umpamanya tidak perlu menunggu giliran atau kelulusan yang terlalu lama dalam aspek tertentu seperti sebelum ini.

“Buanglah sifat gelojoh dan cemburu antara satu sama lain, sebaliknya perbaiklah prestasi dan diri sendiri dengan bertiwikrama dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam demi kemajuan negara kita,” tambah beliau.

Majlis Amanat Tahun Baharu YAB Perdana Menteri yang disambung siar dari Putrajaya ke Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan majlis anjuran Pejabat Ketua Pengarah DBP dan Bahagian Komunikasi Korporat DBP bersempena dengan perjumpaan Perdana Menteri bersama-sama warga Jabatan Perdana Menteri bagi perhimpunan bulanan bulan Januari 2025. 

Barisan pengurusan tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menyaksikan perutusan Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung dari Putrajaya.
Suasana di dalam Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP ketika Perdana Menteri berucap.

Turut hadir dalam majlis di DBP ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Pengarah Jabatan Penerbitan YBrs. Encik M Azahari Edin; Pengarah-pengarah Cawangan dan Wilayah; Ketua-ketua Bahagian; Ketua-ketua Editor; Ketua-ketua Unit dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi