Diterbitkan pada 2 Januari 2025, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Istiadat mengangkat lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 telah selesai dilaksanakan oleh Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pagi semalam.

Terdahulu, beliau menerima watikah pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 17 Disember 2024 di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mengiringi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri (TYT) semasa majlis lafaz angkat sumpah tersebut ialah isteri beliau, Toh Puan Faridah Tussin.

Beliau kemudiannya menandatangani surat sumpah jawatan dengan bersaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Istiadat diteruskan dengan penyampaian ucapan tahniah dan lafaz ikrar taat setia oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir dalam istiadat tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi