Diterbitkan pada 2 Januari 2025, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya –  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga dengan mengaktifkan Ops Payung dalam menghadapi situasi banjir atau bencana alam semasa tempoh Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024 berlangsung.

Melalui Ops Payung, calon akan ditempatkan di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara dan bantuan logistik akan disalurkan kepada calon dan petugas peperiksaan untuk bergerak ke pusat peperiksaan.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata demikian dalam sidang media Pengoperasian Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024, pagi tadi.

Menurut beliau, Ops Payung tersebut akan difokuskan untuk membantu calon dan petugas SPM 2024, terutamanya bagi enam buah negeri berisiko banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.

Ada beberapa laporan yang diterima berkaitan dengan banjir, namun demikian, calon-calon kekal berada di pusat peperiksaan tersebut dan mereka telahpun mengikuti peperiksaan di sekolah yang sama dan banjir dalam keadaan terkawal.

Tambah beliau lagi, setakat pagi tadi kehadiran yang dilaporkan sudah mencecah 97 peratus dan turut meliputi calon berkeperluan khas, calon yang mengambil peperiksaan di hospital dan calon dalam tahanan.

Istimewanya (SPM kali ini) di Negeri Sembilan, misalnya, ada dua orang calon yang berumur 63 tahun mengambil SPM.

Antara inisiatif pada tahun lepas yang dibawa semula pada tahun ini adalah berkaitan dengan pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan yang terdiri daripada orang awam dengan latar belakang yang memenuhi syarat KPM, termasuklah pelibatan pesara guru bagi meringankan beban guru.

Kita ambil perhatian penuh tentang persiapan dan juga pelantikan mereka ini, ada kaedah-kaedahnya untuk memastikan mereka ini benar-benar “qualified” (layak) untuk menjadi pengawas peperiksaan. Setakat ini tidak ada masalah yang berbangkit.

Sekurang-kurangnya 20 peratus pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan di setiap negeri akan bertugas untuk SPM 2024, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5780 orang dalam kalangan sukarelawan telah dilantik untuk membantu sepanjang tempoh peperiksaan ini.

SPM 2024 berlangsung dari 2 Januari 2025 hingga 6 Februari 2025 dengan pelibatan sebanyak 402,956 calon yang menduduki peperiksaan di 3337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi