Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menegaskan bahawa JPJ memandang serius terhadap trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.
Menurut kenyataan JPJ semalam, mereka akan mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas dengan menjalankan tindakan baharu dan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan, khususnya melibatkan kesalahan teknikal kenderaan.
Tahun 2025 akan dijadikan sebagai Tahun Penguatkuasaan dengan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai cubaan untuk bersubahat melakukan kesalahan teknikal, terutamanya berkaitan dengan kenderaan perdagangan.
Selain itu, JPJ akan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha mempergiat pemeriksaan penyalahgunaan dadah oleh pemandu.
Beliau juga turut menjelaskan bahawa JPJ akan menyemak dan memeriksa prosedur pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan yang dilakukan oleh PUSPAKOM atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan yang dilantik.
Jelas beliau dalam kenyataan tersebut,
JPJ akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain, seperti Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memeriksa dan memantau bengkel yang berdaftar serta bengkel haram yang disyaki menyediakan perkhidmatan menyewa peralatan bagi tujuan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan.
JPJ akan menilai semula dan menambah baik latihan kepada pemandu kenderaan perdagangan serta menambah elemen pematuhan dan pengetahuan teknikal kepada pemandu sebelum sijil dikeluarkan.
Di samping itu, pihaknya turut menegaskan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan bahawa sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam usaha mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, beliau menzahirkan kekesalan susulan daripada beberapa kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan baru-baru ini khususnya kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan di kilometer 204 arah utara pada 23 Disember yang lalu.
Berikutan daripada kes kemalangan tersebut, JPJ sedang melakukan siasatan secara terperinci dan tindakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap syarikat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut bagi meneliti pelbagai aspek keselamatan terutamanya berkaitan teknikal.
Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Orang ramai boleh melaporkan aduan berkaitan dengan kesalahan yang melibatkan kenderaan perdagangan dalam aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my berserta butiran yang lengkap.