Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 22 Disember 2024, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook menerusi sidang media Kementerian Pengangkutan pada Jumaat lalu, memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju secara prinsip menerima tawaran daripada syarikat robotik marin yang berpangkalan di United Kingdom, iaitu Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370.

Bedasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember yang lalu, operasi tersebut bakal melibatkan satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip “tiada jumpaan, tiada bayaran”.

Maka itu, prinsip tersebut menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

YB Anthony Loke Siew berkata,

Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370.

Tegas beliau,

Keputusan prinsip ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam usaha memastikan operasi pencarian diteruskan dan memberikan kata putus kepada keluarga waris penumpang pesawat MH370.

Beliau memperincikan bahawa Kementerian Pengangkutan sedang berunding terma dan syarat perjanjian dengan syarikat berkenaan yang dijangka akan dimuktamadkan pada awal tahun hadapan.

Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar dan penyelidik.

Untuk rekod, sejarah insiden pesawat Malaysia Airlines MH370 yang terkesan pada seluruh masyarakat dunia itu membabitkan sebanyak 227 orang penumpang dan 12 orang anak kapal. Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Beijing, China telah dikesan oleh radar kali terakhir di Laut Andaman sebelum dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi