Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 28 November 2024, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa satu kes baharu jangkitan mpox clade II dilaporkan pada 25 November 2024.

Menurut KKM, jumlah kes mpox di Malaysia secara kumulatif  dilaporkan sebanyak 11 kes sejak tahun 2023 dan kini meningkat kepada dua kes baharu pada tahun 2024.

Dalam kenyataan rasmi tersebut, KKM menyatakan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 34 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari terlibat dalam aktiviti berisiko.

Ujar KKM,

Kes mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki mangsa sejak 15 November lalu dan mangsa telah mendapatkan rawatan pada 23 November yang lepas. Kini,  mangsa dalam keadaan stabil dan sedang menjalani isolasi serta menerima rawatan simptomatik. Semua kontak rapat mangsa telah dikenal pasti dan dipantau untuk melihat gejala mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan,

Menurut KKM, Mpox merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus mpox, iaitu spesies genus Orthopoxvirus. Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Tambah KKM,

Gejala mpox ialah demam beserta ruam maculopapular rash atau dipanggil ruam lepuh pada muka, badan, tapak tangan dan tapak kaki. Tempoh  pengeraman, iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga 21 hari.

KKM turut memberikan langkah keselamatan yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia untuk mengelakkan jangkitan mpox. Antaranya termasuklah:

  1. Menggalakkan individu yang mempunyai gejala seperti demam, bengkak kalenjar limfa dan ruam untuk mendapatkan rawatan segera di pusat kesihatan berhampiran.
  2. Mengelakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox, termasuklah hubungan seksual.
  3. Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air atau sabun serta pembasmi kuman (hand sanitizer).
  4. Individu yang ingin melawat negara yang mempunyai kes mpox dinasihatkan untuk mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan aktiviti berisiko.
  5. Semua pengembara yang tiba dari negara yang mempunyai kes mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri pada setiap hari, termasuklah gejala mpox bagi tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi