Diterbitkan pada 25 November 2024, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun pihak berkuasa kerajaan tempatan dinasihatkan agar tidak gentar dan memberi muka kepada pihak yang cuba campur tangan dalam usaha memastikan iklan dan papan tanda mematuhi undang-undang.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh DBKL terhadap premis perniagaan dan beberapa pusat beli-belah yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada papan iklan mereka.

Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan berkata, tindakan menegur dan menasihat perlu diikuti dengan tindakan undang-undang sekiranya mereka masih tidak mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan.

Presiden GAPENA, YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan.

Tambah beliau, Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat, negara berperlembagaan dan memiliki undang-undang.

“Maka, tuan-tuan di DBKL dan pihak berkuasa tempatan di seluruh Persekutuan Malaysia merupakan instrumen kenegaraan. Laksanakan undang-undang tersebut. Jangan khuatir dengan pihak yang cuba campur tangan, waima orang politik mahupun tokoh korporat ataupun perniagaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, menurut Ahli Dewan Negara, tokoh bahasa dan juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, perkara tersebut tidak ada kena-mengena dengan unsur perkauman.

Menurut beliau, langkah DBKL menguatkuasakan Undang-undang Kecil Iklan dalam hal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dilihat sebagai suatu tindakan yang tepat dan tegas.

Malah kata beliau, DBKL melaksanakan undang-undang negara yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan tentang peruntukan bahasa kebangsaan.

“Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu ialah bahasa negara yang menjadi milik dan tanggungjawab semua warganegara Malaysia tanpa mengira keturunan,” ujar beliau.

Jelas beliau, alasan untuk kepentingan pelancong tidak timbul sebagaimana di negara yang mengutamakan bahasa kebangsaan seperti Perancis, China, Jepun, Korea dan negara lain.

“Tindakan itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau penafian kepada bahasa lain kerana undang-undang berkenaan menyebut keutamaan penggunaan bahasa Melayu,” tegas beliau,

YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, isu penggunaan bahasa kebangsaan telah berlarutan selama puluhan tahun dan langkah DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya dipuji.

Malah ujar beliau, lebih 140 PBT di seluruh negara sepatutnya mengikuti langkah dan tindakan yang sama di kawasan masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi