Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 24 November 2024, 21:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, mengumumkan hari ini bahawa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) secara rasmi dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Pengumuman tersebut dibuat setelah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) meluluskan pendaftaran penarafan ini melalui surat bertarikh 15 November lalu.

KUIPs kini bergelar Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), diumumkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor KUIPs, menyatakan bahawa pencapaian ini merupakan kebanggaan besar bagi semua pihak yang terlibat.

“Kejayaan ini diharapkan dapat menyuntik semangat kepada warga UniSIRAJ untuk terus bekerja keras merealisasikan misi dan visi universiti,” titah baginda dalam ucapan sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 KUIPs semalam.

Baginda turut menasihatkan warga universiti agar sentiasa cermat dalam pengurusan kewangan, melaksanakan tugas dengan amanah, serta mengekalkan integriti dalam setiap tindakan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan, langkah ini penting bagi memastikan UniSIRAJ dapat berkembang menjadi institusi yang mandiri, berdaya saing, dan dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Kepada para pelajar, tahniah kerana kini anda adalah alumni UniSIRAJ. Bersama-sama kita tingkatkan usaha untuk membawa kecemerlangan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi, baik di dalam mahupun luar negara,” titah baginda lagi.

Dalam ucapan tersebut, baginda turut menyampaikan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), pengurusan universiti, para pensyarah dan seluruh warga KUIPs atas sumbangan mereka dalam menjayakan kejayaan ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi