Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLumut – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan inisiatif baru bagi memperkasakan mahasiswa dalam Program Siswa Aspirasi Rakyat KPT (SASAR KPT).
Program tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersempena dengan program In Person with Doc Zam@Lumut di Lumut Perak, semalam.
Kira-kira 1000 orang pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta dari seluruh negara hadir ke program ini yang diadakan di Hotel Ritz Garden.
Sehubungan dengan itu, Dr. Zambry Abd Kadir telah memperkenalkan tiga domain berimpak tinggi, iaitu; University-Community Social Enterprise (UCSE), Bakti MADANI dan Inspirasi Varsiti.

Sebagai contoh, Program University-Community Social Enterprise (UCSE) mahasiswa akan menjalankan perniagaan sosial yang tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi juga memberikan impak positif kepada masyarakat dengan penyertaan 32 IPT, 53 pasukan dan lokaliti serta 424 orang pelajar.
Bagi Program Bakti Madani pula menyaksikan mahasiswa melibatkan diri dalam program khidmat bakti siswa-komuniti yang akan melibatkan 20 Universiti Awam (UA), 1600 orang pelajar, serta 3200 ahli komuniti serata negara.
Malah, Program Inspirasi Varsiti akan membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah untuk merasai pengalaman alam universiti, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang akan melibatkan 20 UA, 100 buah sekolah, serta 2000 orang pelajar.
Dr. Zambry Abd Kadir juga percaya dengan mengangkat tema “Pemerkasaan Mahasiswa Ke Arah Pembangunan Komuniti”, inisiatif ini dilaksanakan secara bersasar ke arah pemberdayaan rakyat sekali gus melahirkan siswa yang mampu menguasai intelek manusiawi berwatak glokal dalam menjuarai isu rakyat.
Beliau berkata, dengan menekankan kepentingan mendekatkan hubungan antara kepimpinan negara dan mahasiswa bagi melahirkan pemimpin masa depan yang dinamik dan berketerampilan.
Program ini juga menyerlahkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyediakan platform kepada pelajar universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat sambil mengasah kemahiran kepimpinan dan kesukarelawanan.
Pelancaran SASAR KPT 2024 menggambarkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa mahasiswa sebagai agen perubahan sosial yang progresif.
Majlis turut menyaksikan penyerahan cek cura (mock cheque) geran berjumlah RM 1.97 juta kepada UCSE; RM 250,000 kepada Bakti Madani; dan RM80,000 untuk Inspirasi Varsiti.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Eksekutif, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abd Majid; serta para pengurusan tertinggi IPT awam dan swasta.