Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 21 November 2024, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kita harus membudayakan integriti dan tatakelola yang baik.” Berikut ucapan yang disampaikan oleh Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Siti Zakiah Che Man dalam Ceramah Kesalahan Rasuah oleh Organisasi Komersial yang diadakan di Auditorium DBP, pada 20 November 2024.

Bersempena dengan sambutan Minggu Integriti DBP, Unit Integriti DBP telah mengadakan Ceramah Bersasar Siri ke-4, Kesalahan Rasuah oleh Organisasi Komersial yang membincangkan tentang usaha kerajaan untuk membendung gejala rasuah dalam sesuatu agensi di bawah KPM. 

Ketua Unit Integriti, Puan Zakiah sewaktu menyampaikan ceramah di Auditorium DBP.

Dalam ceramah tersebut, Puan Zakiah menegaskan bahawa amalan rasuah perlu dibendung agar imej sesuatu organisasi tidak tercemar.

Ujar beliau:

Mana-mana pegawai awam atau badan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang menawarkan rasuah kepada tender kontraktor yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan diberikan hukuman penjara selama 10 tahun dan didenda sebanyak RM1 juta.

Seterusnya, beliau turut menekankan setiap organisasi agar berpegang pada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Seksyen 17A yang diperuntukkan dalam prinsip liabiliti korporat organisasi.

Menurut beliau lagi:

Peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 merupakan satu peruntukan yang menetapkan prinsip liabiliti komersial kepada organisasi yang melakukan kesalahan jika terdapat mana-mana pekerja atau pihak bersekutu yang melakukan rasuah untuk mendapatkan faedah dalam organisasi tersebut.

Pada akhir ceramah, Puan Zakiah turut berpesan kepada agensi pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia agar terus komited menguruskan tatakelola dan perolehan dengan baik dan berkesan.

Turut hadir dalam ceramah ini ialah Ketua Unit Integriti, YBrs. Tuan Haji Hamidi Baharom, Ketua-ketua Bahagian dan karyawan DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi