Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPermatang Pasir – Majlis Pelancaran Kempen Antidadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 memperkenalkan Skuard Junior dalam kalangan murid sekolah yang kini diberi peluang untuk menjadi sukarelawan aktif dalam menyebarkan kesedaran tentang bahaya dadah di sekolah masing-masing.
Dengan memperkenalkan Skuad Junior Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), berperanan membentuk satu pasukan sukarelawan dalam kalangan murid sebagai langkah besar dalam usaha melindungi generasi muda daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Atas inisiatif bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini mencerminkan komitmen teguh kedua-dua pihak dalam memperkasakan pendidikan pencegahan dadah, membina daya tahan diri, dan mewujudkan komuniti sekolah yang bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Program ini diadakan di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah dan telah dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, semalam.
Sehubungan itu, usaha KDN bagi memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu pendidikan pencegahan dadah serta kempen kesedaran berterusan terhadap bahaya penyalahgunaan dadah bagi meningkatkan daya tahan diri (resilien) agar dapat mencegah daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Program ini bertujuan untuk menyemarak dan memobilisasi semua warga sekolah sama ada pendidik, pekerja dan murid agar lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah dan bahan, serta menyegarkan kembali program dan aktiviti antidadah yang sedia ada pada peringkat sekolah dan institusi pendidikan.
Antara acara yang dilaksanakan, termasuklah pertandingan mewarna, pidato, kuiz AADK dan Pocket Talk AADK.
KDN dan KPM komited untuk memperkasa pendidikan pencegahan dadah di institusi pendidikan khususnya di sekolah dengan mewujudkan Kelab Antidadah di sekolah.
Statistik yang menunjukkan bahawa peningkatan kes dadah pada setiap tahun amat membimbangkan, bukan sahaja kepada pihak berkuasa tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.
Pendidikan awal pada peringkat sekolah menjadi kunci utama dalam usaha pencegahan ini.

Dalam program yang sama KDN turut melancarkan program Mekar Didik di bawah Jabatan Pendaftaran Negara. Inisiatif ini diharapkan dapat mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tidak memiliki sijil lahir, kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan yang mensasarkan beri bantuan dokumen pengenalan kepada kanak-kanak.
KPM turut komited dalam menangani isu penyalahgunaan dadah termasuk menerusi pemerkasaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) pada semua institusi pendidikan.
Sasaran utama PPDa ialah murid, guru, seluruh warga sekolah dan ibu bapa. Pelaksanaan aktiviti dibuat secara bersepadu melalui empat strategi utama, iaitu pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, kokurikulum dan pembentukan sahsiah murid bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Tuan Khairul Anwar Bachok.