Diterbitkan pada 18 November 2024, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Empat orang telah dilantik menganggotai Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh bermula 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada hari ini memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah melantik YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun, mantan Peguam Negara; YBhg. Tan Sri Datuk Zainun Ali, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, YBhg. Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, mantan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBrs. Profesor Madya Dr. Hartini Saripan.

Mereka dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

Menurut kenyataan, tempoh pelantikan ini ialah dua tahun berkuat kuasa mulai 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026 bagi menggantikan YABhg. Tun Md Raus Sharif, YBhg. Tan Sri Datuk Suriyadi Halim Omar, YBhg. Datu Haji Abdul Razak Tready dan YBhg. Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz yang telah tamat lantikan mereka pada 3 September 2024.

“Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang diberikan oleh mereka semasa tempoh menjadi anggota Suruhanjaya ini,” kata kenyataan itu.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi