Diterbitkan pada 18 November 2024, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rio de Jeneiro – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, TYT Luiz Inácio Lula da Silva di luar Sidang Kemuncak G20 untuk membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan langkah memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik seperti kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan, pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim.

Kedua-dua pihak juga menekankan komitmen bersama dalam memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan, selain berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan Brazil.

YAB Dato’ Seri Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Brazil atas sokongan negara itu kepada Malaysia sebagai rakan strategik dalam kumpulan BRICS, selain menyatakan bahawa pelaburan syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas dan Yinson di Brazil telah menjadi bukti kerjasama ekonomi erat antara kedua-dua negara.

Turut dibincangkan ialah keperluan pembaharuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan keadilan dan keberkesanan organisasi itu dalam menangani cabaran global.

Perdana Menteri turut mengundang Presiden Lula untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2025 sebagai Tetamu Pengerusi.

Kedua-dua negara juga berhasrat untuk meneroka inisiatif bersama sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, manakala Brazil memimpin BRICS dan menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP).

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Brazil yang telah terjalin selama 65 tahun ini diyakini akan terus berkembang pesat demi manfaat bersama,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.

Pertemuan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan strategik dan memastikan agenda global seperti perubahan iklim dan pembangunan mampan terus diberi keutamaan.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi