Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLima – Malaysia bercadang untuk menubuhkan ekosistem halal di Peru sebagai langkah strategik untuk menembusi pasaran Amerika Latin, dengan memanfaatkan Pelabuhan Chancay sebagai laluan eksport produk halal negara. Usaha ini diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersempena dengan kunjungan rasmi beliau ke Peru, yang telah menerima sambutan daripada Presiden Peru, Yang Mulia Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan, semalam.
“Pertemuan ini membuka ruang kolaborasi ekonomi yang lebih luas antara kedua-dua buah negara, termasuklah dalam Kerjasama Selatan-Selatan,” ujar Perdana Menteri.
Beliau turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan sektor halal, pertanian, serta gastronomi dan hospitaliti, iaitu antara Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Comisión de Promoción del Perú para la Exportación y el Turismo (PROMPERU), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Instituto Nacional de Innovación Agraria (INIA) serta kerjasama gastronomi antara Taylor’s University dengan Centro de Formación en Turismo (CENFOTUR).

Kerjasama ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada hubungan perdagangan antara Malaysia dengan Peru yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan pasca-pandemik COVID-19. “Saya optimis bahawa hubungan Malaysia dan Peru akan terus berkembang pesat dengan jalinan kerjasama ini,” tambah beliau.
Dalam kenyataan antara kedua-dua buah negara, Malaysia dan Peru turut menekankan peranan Pelabuhan Chancay sebagai hab logistik yang strategik untuk memperkukuh perdagangan dua hala. Peru juga mengundang Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan infrastruktur hab perindustrian dan teknologi multimodal yang akan menyokong hubungan ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua buah negara.
Malaysia, dalam usaha memperluas jaringan pasaran halal, berhasrat untuk membangunkan Zon Ekonomi Halal Malaysia-Peru di Pelabuhan Chancay, yang bakal berfungsi sebagai pintu masuk utama ke pasaran Amerika Latin. Selain itu, Malaysia dan Peru sepakat mempercepatkan proses kemasukan produk masing-masing, dengan menekankan pelaburan yang mampan dan inklusif.
Kedua-dua pemimpin mengiktiraf kepentingan meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan latihan, termasuklah melalui pertukaran biasiswa, pengiktirafan kelayakan, perkongsian kepakaran dan pertukaran ilmu dalam bidang yang menjadi kepentingan kedua-dua belah pihak. Sehubungan itu, Malaysia menawarkan dua biasiswa kepada pelajar Peru untuk melanjutkan pengajian pada peringkat tinggi di Malaysia bagi tahun 2025.
Selain ekonomi, kedua-dua buah negara menegaskan kepentingan memperkukuh kerjasama rentas budaya dan pelancongan, dengan Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong Peru ke Visit Malaysia 2026. Kerjasama dalam bidang pendidikan juga dipertingkatkan, antaranya termasuklah menawarkan biasiswa kepada pelajar Peru yang ingin melanjutkan pelajaran ke Malaysia pada tahun 2025.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang tentang isu serantau dan global, dengan menegaskan komitmen terhadap multilateralisme di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka juga menekankan keperluan penyelesaian politik untuk isu Palestin, menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan bantuan kemanusiaan yang berterusan.

Pada hari yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar dianugerahi pingat tertinggi Peru, “El Sol del Peru” oleh Yang Mulia Presiden Boluarte, sebagai pengiktirafan persahabatan dan kerjasama erat antara kedua-dua buah negara. Anugerah ini diharap menjadi permulaan kepada hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dengan Peru.
Penganugerahan ini, ujar YAB Dato’ Seri Anwar merupakan penghormatan besar kepada Malaysia dan menjadi simbol persahabatan yang erat antara kedua-dua buah negara.