Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, dalam ucapannya petang semalam merasmikan Jerayawara Festival Idea Putrajaya 2024 dan menyatakan keyakinan beliau bahawa festival ini akan menjadi platform utama untuk mengangkat kearifan tempatan kepada dunia.
Festival yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) nanti bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi, dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pakar, pembuat dasar, ahli akademik, ahli industri serta masyarakat umum.
Menurut beliau,
Festival Idea Putrajaya adalah inisiatif berani yang menghimpunkan minda terbaik dalam kalangan rakyat Malaysia untuk berkongsi idea inovatif dan menyumbang kepada penyelesaian cabaran global dan nasional.
Jerayawara dua hari yang diadakan di IOI City Mall Putrajaya bermatlamat untuk memperkenalkan festival ini kepada orang ramai, selain menyajikan pelbagai aktiviti dari MyIdeas Connect yang menampilkan inovasi seni dan kreatif daripada penyertaan 20 industri dan lima institusi pendidikan tinggi.
YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini berkata,
Penganjuran festival ini juga adalah langkah strategik untuk mempromosikan budaya ilmu yang subur dan meningkatkan taraf pendidikan negara, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Beliau juga menekankan kepentingan festival ini sebagai landasan bagi idea dan penyelidikan dikumpulkan serta dikongsi, seterusnya mempromosikan kisah kejayaan anak Malaysia di dalam “The Malaysian Success Story” di peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai Kota Idea (City of Ideas).
Beliau turut menekankan bahawa festival ini membuka ruang kerjasama antara akademia, industri dan komuniti bagi mencipta penyelesaian inovatif secara langsung mengukuhkan ekosistem inovasi Malaysia.
Antara aktiviti utama yang bakal dianjurkan termasuk Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS), Pameran Inovasi dan Idea Kreatif dan Karnival Kerjaya MADANI yang menyediakan peluang kerjaya untuk graduan.
Mengakhiri ucapannya, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai Festival Idea Putrajaya 2024, yang bukan sahaja akan mengangkat imej Malaysia sebagai pusat intelektual dan inovasi serantau, malah memberi impak kepada keseluruhan ekosistem inovasi dalam negara.