Diterbitkan pada 10 November 2024, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan tindakannya meletakkan syarat bahawa kandungan buku yang berunsur agama perlu mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hal itu dinyatakan oleh DBP kerana timbul isu berkenaan dengan Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) yang tular dalam sebuah video yang dimuat naik melalui media sosial baru-baru ini.

DBP menerusi kenyataan medianya berkata bahawa Dana PIBN merupakan dana yang disalurkan oleh Kerajaan Malaysia kepada DBP melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu pembangunan dan perkembangan industri buku negara.

Penerbit atau syarikat yang layak memohon Dana PIBN perlu memastikan kandungan buku yang diluluskan bawah PIBN bebas daripada sebarang isu sensitif yang boleh memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan negara dan kemoralan serta kesejahteraan rakyat, termasuklah isu kepercayaan, bangsa/kaum, agama dan institusi diraja.

Dalam kenyataan rasmi itu, DBP juga turut menegaskan bahawa pemberian dana ini perlu mematuhi tataurusan yang telah ditetapkan berdasarkan dasar, peraturan dan pekeliling kerajaan.

Oleh itu, DBP selaku urus setia amat mengalu-alukan pemohon yang berkelayakan untuk memohon Dana PIBN dan meminta semua pemohon Dana PIBN dapat mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

Sehingga kini, sebanyak 662 judul buku telah berjaya diterbitkan menggunakan Dana PIBN dan telah memberikan manfaat kepada 248 penerbit atau syarikat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi