Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 8 November 2024, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rompin – “Program Majalah Dalam Kelas (MDK) memberikan peluang kepada pelajar dan guru di kawasan luar bandar untuk mengasah bakat penulisan kreatif terutamanya kepada golongan muda.” Berikut ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBPWT), YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry sewaktu merasmikan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Pahang, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Pahang, pada 6 November 2024 yang lalu.

Program MDK yang dilaksanakan oleh DBPWT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang ini menjadi medium terbaik untuk membantu guru Bahasa Melayu dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Ujar Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Nurul Julia dalam ucapan perasmiannya:

Kami ingin membawa akses kepada bahan bacaan dan kemahiran penerbitan yang berkualiti ke sekolah luar bandar agar mereka tidak ketinggalan dalam usaha memperkasakan literasi dan penerbitan kreatif.

Menurutnya lagi, program ini juga merupakan medium terbaik untuk menyemai dan memupuk minat membaca dan menulis dalam kalangan pelajar.

Pengarah DBPWT,  YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry sewaktu menyampaikan ucapan perasmian.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan, YBrs. Encik Saruchi Sawal wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang yang menyokong penuh inisiatif Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa kemahiran literasi penting dalam membina generasi yang berdaya saing dan berketerampilan. “Program seperti ini bukan sahaja mengasah kreativiti pelajar, tetapi juga memberi pendedahan awal kepada dunia penulisan. Kami di JPN Pahang akan terus memberikan sokongan agar lebih banyak pelajar di luar bandar mendapat manfaat yang sama,” katanya.

Ujar beliau,

Sekolah Menengah di daerah Rompin ini juga mempunyai potensi untuk berkembang maju pada peringkat kebangsaan malah dapat melahirkan golongan karyawan dalam kalangan golongan muda.

YBrs. Encik Saruchi Sawal ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sebanyak 23 buah sekolah yang terdiri daripada 150 orang pelajar sekolah rendah dan 154 orang pelajar sekolah menengah serta 50 orang guru telah menyertai Program MDK anjuran DBPWT ini.

Turut hadir sama dalam program ini ialah Pegawai Pendidikan Daerah, Tuan Haji Mohd Yazid Kamaruddin;  Ketua Penolong Pengarah JPN Pahang, Tuan Haji Shamdzul Ahmad; Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, Puan Aninah Janang; pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang danpegawai DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi