Diterbitkan pada 3 November 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis – Hasrat untuk mencipta keseronokan pelajar agar hadir ke sekolah yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Simpang Empat Perlis menjadi kenyataan apabila pelbagai perubahan fizikal, pemantapan pengurusan dan pengukuhan pengajaran dalam usaha mempertingkatkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan dapat direalisasikan dengan jayanya.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Simpang Empat, YBhg. Tuan Syagul Yuhanis Mohd Yusof, usaha menyeluruh yang menekankan aspek kecemerlangan pelajar, pembentukan akhlak dan sahsiah, pencapaian akademik, serta peningkatan prasarana di sekolah diberikan penekanan.

Usaha ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, mendidik akhlak mulia, menyokong perkembangan sahsiah pelajar, dan memastikan pencapaian akademik yang cemerlang dalam persekitaran yang lengkap dengan kemudahan yang sesuai.

Lebih istimewa lagi, usaha warga Sekolah Kebangsaan Simpang Empat yang juga merupakan satu daripada sekolah yang mengikuti Program Sekolah Amanah Jamalullail tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mendapat perhatian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang berkenan berangkat menyaksikan hasil naik taraf di asrama sekolah berkenaan, jelas beliau.

Ujar beliau,

Naik taraf tersebut walaupun pada ketika ini belum siap sepenuhnya, namun merangkumi keindahan serta penambahbaikan prasarana asrama bagi memberikan keselesaan kepada pelajar yang menginap di sekolah tersebut.

Sementara itu, DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan menyampaikan sumbangan Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) MAIPs berjumlah RM2000 bagi tujuan menaiktaraf lagi keperluan fizikal di sekolah berkenaan.

Pentingnya usaha menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga bagi guru-guru.

Dalam titah sempena lawatan, baginda juga menekankan bahawa keseronokan guru dalam mengajar harus turut diutamakan kerana turut menyumbang kepada kesejahteraan pelajar serta keberkesanan proses pembelajaran.

Tambah baginda,

Dengan persekitaran yang lebih baik dan selesa, diharapkan inisiatif ini dapat menggalakkan lebih ramai pelajar dan tenaga pengajar untuk hadir dengan penuh semangat dan motivasi ke sekolah

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis menyampaikan sumbangan Tabung Baraatuz Zimmah (t-BAZ) MAIPs berjumlah RM2000 kepada Guru Besar SK Simpang Empat, YBhg. Syagul Yuhanis Mohd Yusof.

Terdahulu DYTM Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyantuni golongan asnaf terdiri daripada Dali Hassan, Nab Chin dan Mohamad Shahrol Nizam Bulyamin melalui Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan bermula dan berakhir di Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar.

Sebanyak lima buah sekolah di Perlis telah terpilih untuk menerima tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail.

Tajaan ini bermatlamatkan untuk membawa budaya perubahan holistik kepada persekitaran pendidikan di sekolah dengan memberikan fokus kepada pembentukan pelajar holistik yang mencapai sasaran Kemahiran DwiBahasa, Etika dan Kerohanian, Kemahiran Memimpin, Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, dan Identiti Nasional.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail disambut oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, YBrs. Tuan Haji Che Rasaidi Che Yob dan warga sekolah itu.

Yang turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Zairul Faizal Zainal Pakhri dan Ketua Pegawai Operasi, Encik Mohd Ariff Idris dari Gadong Sari Enterprise Sendirian Berhad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi