Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menetapkan format yang telah diselaraskan menerusi perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya dalam urusan pengesahan iklan. Selain perlu mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai syarat utama pada papan tanda, DBP turut menguatkuasakan tulisan Jawi pada semua papan tanda dan iklan di beberapa buah negeri serta bahasa kedua perlu lebih kecil saiz tulisannya berbanding dengan bahasa kebangsaan.

Demikian jelas Perancang Bahasa dari Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Hasanul Isyraf Mohammad semasa sesi Sinergi Pengurusan Perniagaan bersempena dengan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2024 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berlangsung di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, Selangor pada hari ini.
“Khidmat sah bahasa DBP juga amat signifikan dan berkaitan rapat dengan sinergi perniagaan. Dalam hal ini, PBT juga mempunyai format berbeza untuk papan iklan. Bagi mengelakkan pelanggan datang semula dengan kesalahan tertentu, maka format yang ada perlu diselaraskan agar memudahkan urusan semua pihak,” jelas Encik Hasanul Isyraf semasa membentangkan kertas kerjanya.
Hal ini perlu diselaraskan memandangkan masih terdapat ketidakselarasan dalam kalangan PBT tertentu dalam menguatkuasakan format kepada pelanggan. Oleh itu, jalinan kerjasama yang baik antara DBP dengan PBT akan terus dimantapkan demi kepuasan hati pelanggan.
Sementara itu, bagi penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda, kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang wajib menggunakan tulisan tersebut dalam keterangan perniagaan yang terdapat pada papan tanda yang turut melibatkan Perlis pada 1 Februari lalu. “Jika terdapat PBT yang ingin menguatkuasakan tulisan Jawi, pihak mereka bolehlah menghubungi DBP untuk mendapatkan format terkini,” jelas beliau.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa terdapat aduan yang diterima dari selatan tanah air baru-baru ini tentang penggunaan bahasa asing seperti Nepal dan Bangladesh pada papan tanda yang mendapat rungutan orang awam. Beliau berkata, DBP mengambil maklum tentang perkara tersebut dan menyatakan hal tersebut tidak sewajarnya berlaku.
Tambah beliau lagi,
“Saiz tulisan juga memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Saiz teks dalam bahasa Melayu perlu lebih besar tulisannya dan perlu diletak di atas bahasa lain. Ukurannya perlu 50 peratus lebih besar daripada bahasa lain, yakni bahasa Inggeris untuk paparan pada papan tanda iklan.”
Menurut beliau, spesifikasi yang melibatkan saiz iklan berada bawah tangungjawab PBT. Bagi memudahkan urusan, pelanggan perlulah menghantar salinan visual yang ringkas untuk urusan pengesahan bahasa.

Selain itu, isu yang sering dikemukakan oleh pelanggan termasuklah isu lulus dengan pindaan, iaitu masih terdapat kesalahan, namun bersifat minimum; pembetulan berulang selain isu pemalsuan sijil sah bahasa. Dalam isu ini, didedahkan perkara yang diluluskan tidak sama dengan visual yang dipaparkan pada papan iklan atau papan tanda. Perbuatan sedemikian ditafsirkan sebagai mengubah dokumen rasmi kerajaan. “Pemalsuan Sijil Sah Bahasa merupakan satu kesalahan. Sekiranya disiasat dan dikenal pasti mereka akan berdepan dengan tindakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Selain itu, turut disentuh tentang penggunaan nama yang tidak mencerminkan identiti tempatan pada papan iklan dan papan tanda. Dalam hal ini, diakui tugas penulis sememangnya mencetuskan idea kreatif, namun perlu mengutamakan nuansa dan budaya tempatan kerana bahasa Melayu sebenarnya tidak membosankan seperti jangkaan sesetengah pihak,” ulas beliau.

Semasa mengakhiri sesi tersebut, Encik Hasanul menegaskan bahawa harga yang ditetapkan untuk bayaran khimat pengesahan bahasa oleh DBP masih berada pada harga yang berpatutan mengikut saiz yang telah ditetapkan. Selain itu, beliau turut menjelaskan Bahagian Penguatkuasan sedang merancang untuk mengadakan program untuk mendekatkan diri dengan khalayak menerusi seminar penguatkuasaan bahasa di tempat awam yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan, selain beberapa bahagian penting di DBP yang dipercayai telah bersedia dengan pelbagai agenda dan aktiviti pengembangan bahasa masing-masing pada tahun hadapan.