Diterbitkan pada 23 Oktober 2024, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan watikah pelantikan Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara hari ini.

Baginda berkenan mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas atas persetujuan bersama Majlis Raja-Raja.

Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) pada tahun 1987 dan juga seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.

ISTAC merupakan gedung warisan intelektual dan pusat rujukan yang memiliki koleksi manuskrip, jurnal, monograf dan bahan-bahan rujukan eksklusif terutamanya mengenai tamadun dunia.

Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas bergambar kenangan bersama-sama Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Beliau juga merupakan individu penting yang membentangkan konseptualisasi universiti Islam pada Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Mekah pada tahun 1977 sehingga membawa kepada penubuhan beberapa universiti Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Sementara itu, Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas turut menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas kurniaan tersebut kepada beliau.

Beliau dilahirkan pada tahun 1931 dan telah mendapat pendidikan awal di English College Johor Bahru yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1946.

Beliau meneruskan pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1957 sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah pada tahun 1960 di University McGill, Kanada dan seterusnya di University of London, United Kingdom pada tahun 1963.

Gelaran Profesor Diraja ini mengiktiraf sumbangan beliau sebagai tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani dan dihormati di dalam dan luar negara.

Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

Beliau turut memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang telah diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan antara tokoh penting bagi penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menyumbang dalam merencana dasar, falsafah dan logo universiti dengan moto Zidni Ilman (tambahkan kepadaku ilmu) pada tahun 1970.

Kini, UKM merupakan sebuah daripada universiti penyelidikan terkemuka di negara ini yang telah melahirkan modal insan terpelajar pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Pelantikan beliau sebagai Profesor Diraja ini adalah pelantikan kali kedua selepas pelantikan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada tahun 1978.

Dalam sebuah kenyataan media, KPT turut mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih atas limpah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja terhadap pengurniaan pelantikan Profesor Diraja.

Pengurniaan tersebut dikatakan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh rakyat terutamanya ahli akademik Malaysia dalam merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara seterusnya dapat menyumbang bakti ke arah memartabatkan budaya ilmu di Malaysia.

Hadir sama semasa pengurniaan Profesor Diraja kepada Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas ialah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pengajian Tinggi,YB Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

 

 

 

 

 

 

Kredit Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi