Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sentul mencadangkan agar sekolah mewajibkan para pelajar dan guru melanggan majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah.
PPD Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, YBrs. Puan Zainon Harun berkata, berdasarkan pengalamannya menjadi guru bahasa sejak berpuluh tahun dahulu, penggunaan majalah semasa sesi PdP di dalam kelas terbukti memberikan manfaat kepada para pelajar.
Saya mencadangkan agar setiap sekolah membeli sekurang-kurangnya tiga keluaran majalah Dewan Pelajar untuk satu tahun. Untuk setiap keluaran, mereka boleh menggunakan majalah tersebut untuk empat bulan.
“Hal ini demikian kerana, di dalam majalah tersebut, terdapat banyak aktiviti yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar. Apabila kita sudah membeli majalah tersebut, kita harus menggunakan majalah tersebut dengan sebaik-baiknya.
Berikut kata beliau semasa memberikan ucapan alu-aluan dalam Kursus Bimbingan Penceramah Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Guru yang diadakan di Bilik Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, pada hari ini.

Beliau berkata, untuk mempelajari mata pelajaran Bahasa Melayu ini, tidak sama dengan mata pelajaran Matematik, untuk belajar bahasa, kita harus mempunyai jiwa di dalamnya, baru kita boleh menghadapi segala bahasa yang dipelajari, termasuklah Bahasa Inggeris dan sebagainya.
Oleh itu, beliau mengingatkan kepada para guru yang ingin menyampaikan sesi PdP dengan cara yang interaktif, mereka perlu menyediakan bahan yang berkualiti, bermutu dan terkini.
Ujar beliau:
Setiap tahun, mereka boleh membeli bermacam-macam barang, tetapi tidak boleh membeli Dewan Siswa dan Dewan Pelajar, sedangkan bahan ini merupakan bahan yang sangat bermanfaat kerana di dalamnya terdapat karya yang ditulis oleh rakan-rakan mereka.
“Kalau anak murid kita boleh menulis dengan baik dan mereka dididik oleh guru untuk menghasilkan karya dan dihantar ke DBP, kemudian karyanya diterbitkan, sudah tentu mereka boleh menjadi karyawan kecil.

Dalam pada itu, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar berkata program ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan para guru dan pelajar terus memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Beliau berkata, program MDK ini juga sesuai dengan kehendak strategi PdP Bahasa Melayu kerana kebanyakan bahan yang disiarkan dalam majalah dapat dipelbagaikan dari segi kemahiran, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
Selain itu, program MDK juga memenuhi kehendak organisasi kurikulum, iaitu interpersonal, maklumat dan estetik. Manakala dari segi komponen kesusasteraan Melayu pula, bahannya dapat dimanfaatkan untuk penghayatan dan penulisan cerpen dan puisi.
Tambah beliau,
Pihak DBP akan menerbitkan hasil karya seperti cerpen, sajak dan puisi yang dibuat oleh guru atau pelajar, sekali gus akan membuka ruang kepada mereka yang berbakat. Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang mendapat bayaran daripada hasil karya yang diterbitkan.

Sebanyak 77 orang guru dari Pejabat Pendidikan Daerah Sentul telah menyertai Kursus Bimbingan Penceramah Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Guru yang diadakan di Bilik Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah membina kata daripada perkataan “kejururawatan”, sesi mendeklamasikan sajak dan kuiz menara belon.
Peserta program ini telah dibahagikan kepada 11 kumpulan dan setiap wakil kumpulan perlu mendeklamasikan sebuah sajak. Semasa sesi tersebut, seorang guru telah tampil menyampaikan sajak hasil nukilan isterinya bertajuk “Bumi Harapan”. Guru dari Sekolah Kebangsaan La Salle Satu Sentul, iaitu Encik Muhammad Latif Othman dengan penuh ekspresi telah tampil ke atas pentas dan mendeklamasi sajaknya.
“Ini bukan sekadar perjuangan agama
Ini tentang kemanusiaan,
Hati mana yang tidak berduka,
Jika anak suami dan isteri menangis kehilangan keluarga,
Demi mempertahankan tanah suci ini”.

Sajak yang dideklamasikan oleh Encik Muhammad Latif Othman ini mengisahkan tentang perjuangan rakyat Palestin demi mempertahankan bumi daripada terus diratah oleh Zionis Israel.
Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah, Puan Hajah Asrina Ayu Chik, Pegawai Sisc+ Bahasa PPD, Encik Ellan Govan a/l Rengan, Ketua Bahagian Perkamusan DBP yang juga penceramah program, Encik Abdul Ghani Abu dan Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa.

Ahli panel bagi Sesi Bersama-sama Editor Majalah ialah editor majalah Dewan Siswa, iaitu Puan Siti Irni Yuslinda Mosman dan editor majalah Dewan Pelajar, iaitu Puan Fansurina Ramli. Karyawan DBP dan guru-guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah Daerah Sentul juga turut hadir dalam program ini.