Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui inisiatif Belanjawan 2025.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPT, kementerian itu telah diperuntukkan sebanyak RM18.1 bilion yang meliputi RM13.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM 4.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Antara beberapa inisiatif untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui inisiatif Belanjawan 2025 termasuklah dari segi pemerkasaan Pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Peruntukan sebanyak RM7.5 bilion yang disediakan oleh kerajaan itu digunakan untuk potongan cukai kepada syarikat yang memberikan sumbangan peralatan dan mesin baharu kepada institut latihan kemahiran awam, politeknik atau kolej vokasional, manakala peruntukan sebanyak RM55 juta diberikan kepada GIATMARA dan kolej komuniti bagi tempoh lima tahun untuk mengupayakan 10 ribu anak-anak huffaz dari institut tahfiz.
Inisiatif yang kedua ialah memberikan tawaran biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan dengan peruntukan RM4 bilion.
Bagi inisiatif ketiga pula, KPT akan melaksanakan penambahbaikan prasarana, penggantian peralatan usang dan perluasan capaian Internet di semua universiti awam dengan peruntukan RM635 juta.
Seterusnya, kecemerlangan pendidikan tinggi juga boleh dipacu menerusi peningkatan dana penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM600 juta di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Selain itu, KPT akan memberikan pembiayaan pendidikan PTPTN berjumlah RM500 juta khusus kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di IPTA.
Peluasan pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) juga akan dilaksanakan di semua universiti penyelidikan melalui pemberian peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Universiti Malaya dalam bidang perubatan, Universiti Putra Malaysia dalam bidang pengkomputeran, Universiti Sains Malaysia dalam bidang semikonduktor dan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang alih bahasa.
Inisiatif ketujuh pula merangkumi peruntukan berjumlah RM20 juta kepada Universiti Teknologi MARA bagi melahirkan lebih banyak graduan dalam bidang jurutera dan sebanyak RM10 juta kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam meningkatkan kefahaman serta pemakaian nilai universal ekonomi Islam.
Di samping itu, bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi yang cekap dan teratur, kerajaan bercadang untuk melanjutkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk tempoh tiga tahun, peluasan rantaian pemberian geran padanan sehingga RM5,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) bagi keluarga yang berpendapatan hingga RM6,000 serta pelaksanaan Program Celik Madani kepada 100 ribu pelajar baharu di IPT.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga akan memberikan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi memperluas Kampung Angkat Madani di 200 kampung seluruh negara, menambah baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti.
Dalam kenyataan media itu juga, KPT menyambut baik langkah pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat bagi kumpulan sasaran yang berpendapatan 15 peratus teratas.