Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran anak-anak autistik di Perlis melalui pelaksanaan projek menaik taraf Pembangunan Kemudahan Terapi Open Gym di universiti berkenaan.
YBR dalam kenyataan semalam memaklumkan projek Pembangunan Kemudahan Terapi di Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) yang bertempat di Aras Dua, Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di universiti itu ialah kemudahan terapi yang berkonsepkan ekosistem dan persekitaran kehidupan seharian dilalui anak-anak autistik dan berkeperluan khas.
Berteraskan pendidikan yang lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan, YBR dengan kerjasama A-HEART UniMAP dan Yayasan Tuanku Syed Putra telah menaik taraf Pembangunan Kemudahan Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autisme dengan bertemakan “Sejahtera dan Lestari”.
“A-HEART telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama dengan YBR dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar yang meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan perasmian Pembangunan Kemudahan Terapi Open Gym di UniMAP yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di universiti berkenaan.
Turut berangkat DYTM Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor UniMAP, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Rizal Abdul Ghani dalam kenyataan berkenaan berkata penyediaan pembangunan kemudahan yang baik ialah sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan anak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu mengembangkan potensi dalam kalangan kanak-kanak istimewa.
“Selain itu, kemudahan yang dibangunkan di Open Gym ini boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor atau fizikal.
“Diharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak, terutamanya ibu bapa, keluarga dan masyarakat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta memotivasikan mereka untuk mengikuti sesi pembelajaran yang sempurna dan selesa,” katanva.
Sementara itu, Syaiful Rizal berkata YBR telah memperuntukkan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan pada tahun 2024.