Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak RM64.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Belanjawan MADANI Ketiga 2025 sebagai satu daripada usaha memelihara kesejahteraan rakyat dan negara, terutamanya aspek pendidikan bagi memastikan hasrat membina Malaysia MADANI yang mampan dan berdaya saing tercapai, sekali gus menjadikan KPM sebagai penerima peruntukan terbesar dalam belanjawan tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2025 dan KPM akan menggalas amanah besar yang diberikan bagi memastikan peruntukan belanjawan berkenaan dapat memberikan impak yang positif kepada agenda reformasi pendidikan yang sedang dijalankan,” kata KPM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Berdasarkan kenyataan media tersebut, sebanyak RM2 bilion disediakan untuk meningkatkan infrastruktur sekolah, khususnya projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara merangkumi RM1 bilion bagi menyelenggara semua jenis sekolah, manakala RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, peruntukan yang diberikan juga bertujuan untuk membaik pulih kemudahan seperti kantin dan musala.
KPM berkata,
Lebih RM1.8 bilion disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam, termasuklah guru, sekali gus pelibatan badan swasta dan syarikat kerajaan dalam program pendanaan amat digalakkan bagi penyediaan kemudahan lain di sekolah seperti dewan terbuka.
Selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang memberikan tumpuan terhadap pendidikan awal kanak-kanak, sebanyak 34 prasekolah baharu akan dibina dan pembinaan sebanyak 44 sekolah baharu turut diluluskan bagi memastikan akses pendidikan terus dipertingkat.
Menerusi peruntukan sebanyak 5.3 bilion, kerajaan menyalurkan 17 jenis bantuan pendidikan, termasuklah RM2 bilion daripada jumlah peruntukan tersebut digunakan untuk Bantuan Makanan Asrama dan RM870 juta disediakan bagi Rancangan Makanan Tambahan yang bakal memanfaatkan lebih 860 ribu orang murid.
Selain itu, sebanyak RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan turut disediakan kepada 5.2 juta murid tahun satu hingga tingkatan lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
Tidak ketinggalan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin juga ditingkatkan kepada RM180 juta berbanding dengan RM150 juta ringgit yang disediakan sebelum ini.
Pada masa yang sama, kerajaan juga bersetuju kadar Bantuan Geran Per Kapita Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ditingkatkan sebanyak 15 peratus, yakni berjumlah RM900 juta setelah mengambil kira keperluan menampung kos pembelajaran yang kini kian meningkat serta sejumlah RM10 juta turut disediakan sebagai bantuan persekolahan kepada 687 buah sekolah pedalaman.
Kata KPM, kerajaan juga mengambil inisiatif untuk menaikkan elaun sara hidup siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institut pendidikan guru kepada RM530 sebulan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.
Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di seluruh negara juga diperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion untuk menyediakan pendidikan kepada 77 000 orang pelajar.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa komitmen kerajaan kepada pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu yang dilengkapi dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuklah di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Ujar KPM,
Sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk pembinaan dua sekolah baharu bagi MBPK, iaitu Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Tuaran, Sabah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru dengan kos RM300 juta dan KPM turut diperuntukkan dengan nilai RM10 juta untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan KPM.
Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas sebanyak RM150 sebulan turut disediakan yang memberikan manfaat kepada 110 000 MBPK termasuklah murid autisme yang melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.
Dalam menangani isu keciciran murid, Program Anak Kita terus diperkasakan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Yayasan Hasanah.
KPM juga berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada semua pelajar kolej matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY dan program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap akan dilaksanakan di sekolah luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
Dalam usaha mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan pula, sebanyak RM50 juta disediakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk bekerjasama dengan penggiat bahasa bagi mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Seterusnya, sebanyak RM150 juta turut diperuntukkan untuk memperkasakan pelibatan komuniti di sekolah menerusi penganjuran gotong-royong dan program kesukarelawanan di semua sekolah melibatkan persatuan ibu bapa dan guru, yayasan, syarikat kerajaan dan badan bukan kerajaan.