Diterbitkan pada 15 Oktober 2024, 15:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Brunei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Bandar Seri Begawan, Brunei. Dalam kesempatan itu, Baginda telah merasmikan Sudut Buku Malaysia di menara gading berkenaan.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kemudian menandatangani sudut Lembaran Kenangan sebelum berkenan melawat Galeri Al-Imtiyaz, iaitu sebuah pameran hubungan kerjasama serta studio mushaf digital UNISSA.

UNISSA merupakan universiti Islam di Brunei yang ditubuhkan pada 1 Januari 2007 dan jumlah pelajar sepanjang penubuhan universiti berkenaan keseluruhannya adalah sebanyak 1889 orang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 pelajar berasal dari Malaysia manakala tenaga pengajar dari Malaysia pula berjumlah 12 orang. Secara keseluruhannya, tenaga akademik di UNISSA adalah sebanyak 114 orang.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah telah merasmikan Sudut Buku Malaysia di UNISSA.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah amat aktif dalam dunia keintelektualan dan Baginda juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut menaungi Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilisation (RZS-CASIS).

Sejak tahun 2022, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga mengilhamkan siri Royal Intellectual Forum yang dianjurkan setahun sekali di UTM oleh Akademi Tamadun Islam (ATI).

Turut Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah.

Tetamu kenamaan yang turut hadir termasuklah Menteri Pengajian Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Brunei, YB Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah Haji Md Salleh.

Suasana ketika Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ketika melawat UNISSA.

Pada masa yang sama, KDYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama-sama Raja Permaisuri Agong telah mengadakan lawatan ke Brunei selama tiga hari bermula pada hari Ahad lalu.

Menerusi catatan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan bahawa Baginda telah menaiki pesawat khas dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bharu.

Kredit Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi