Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia menganjurkan Taklimat Penyegaran Semula Kemahiran Penetapan Penilaian Markah Prestasi kepada warga DBP di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, semalam.
Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh Perunding Latihan Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan, Institut Tadbiran Awam Negara, YBrs. Puan Tengku Siliawati Tengku Salim.
Program tersebut diadakan bertujuan untuk memperkasakan kemahiran pegawai penilai dalam penilaian prestasi melalui submodul Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), di samping memastikan pemahaman yang selaras mengenai pengukuran dan penetapan markah prestasi dalam kalangan pegawai penilai di DBP.
Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, YBrs. Encik Azhar Mohamad Dora dalam ucapan alu-aluannya berkata,
Kita mengadakan sesi taklimat ini dengan arahan dan sokongan pengurusan tertinggi kerana apabila kita membuat analisis yang ringkas berkaitan dengan pengurusan penilaian prestasi, kita dapati terdapat masalah daripada segi pemahaman, pelaksanaan dan sebagainya.
Hal ini demikian kerana terdapat markah penilaian prestasi melalui LNPT diberikan secara tidak tepat kepada pegawai yang dinilai disebabkan kemungkinan berlaku perbezaan persepsi terhadap konsep penilaian prestasi dalam panduan pemarkahan dan skala aspek penilaian yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).
Ujar beliau lagi,
Kefahaman terhadap proses penilaian prestasi secara lebih mendalam merupakan perkara yang penting kepada semua pegawai DBP agar tanggungjawab sebagai pegawai penilai dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan adil.

Dalam sesi taklimat tersebut, YBrs. Puan Tengku Siliawati Tengku Salim menyatakan tujuan LNPT dilaksanakan sebagai langkah intervensi untuk mewujudkan perubahan yang positif kepada pegawai termasuklah perkembangan kerjaya, keperluan latihan dan bantuan yang bertepatan sekiranya diperlukan.
Selain itu, satu daripada perkara yang ditambah baik dalam penilaian prestasi MyPerformance ialah tadbir urus menerusi penjajaran penghasilan kerja secara top down approach atau pendekatan atas-bawah yang menjadi asas dalam penetapan sasaran berdasarkan keperluan pengurusan, pihak yang berkepentingan dan penyampaian visi serta misi sesebuah jabatan.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan penilaian prestasi yang objektif, adil dan telus oleh pegawai penilai merupakan penilaian yang dibuat secara beterusan, tidak dipengaruhi faktor pilih kasih, tidak bersifat terlalu bermurah hati (lenient) dan tidak dibuat pada saat-saat akhir atau secara tergesa-gesa.
MyPerformance merupakan sebuah sistem pengurusan prestasi baharu berasaskan fungsi jabatan kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang dibangunkan oleh JPA bagi menggantikan sistem penilaian prestasi sedia ada, iaitu Modul Pengurusan Prestasi – LNPT HRMIS berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009.
Tempoh familiarisasi sistem tersebut bermula pada 1 Januari 2022 dan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2025 selaras dengan hasrat kerajaan untuk menambah baik aspek pengurusan dan pembangunan bakat pegawai perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
DBP telah mengorak langkah dalam penilaian prestasi pegawai melalui penggantian Sasaran Kerja Tahunan dalam Modul Pengurusan Prestasi – LNPT HRMIS kepada komponen Sasaran Kerja Utama dalam MyPerformance sejak tahun 2022.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Cawangan dan Wilayah, Ketua Bahagian, Ketua Editor, Ketua Unit serta karyawan DBP.